Kita mungkin sudah familiar dengan istilah 3G dan 4G dan tidak lama lagi kita akan merasai perubahan kepada 5G pula. Teknologi 5G bermaksud teknologi perhubungan generasi ke-5.
Menurut sumber, kadar latensi dengan menggunakan 5G adalah serendah 1ms dan hampir kepada kadar ‘real time’ serta tiada delay. Bayangkan anda menghantar pesanan ringkas pada seseorang dan ia sampai pada penerima dalam masa 1 ms sahaja!
Disaat kita masih menunggu untuk menggunakan teknologi 5G ini, ada beberapa negara yang kini sudah memulakan teknologi 6G, dan sudah semestinya ia lebih baik berbanding 5G.
Negara-negara yang kini sedang membina 6G adalah seperti yang berikut:
1. China
China memulakan penyelidikan ke 6G pada 2018 dan merancang untuk melancarkannya sekitar 2029. Pada akhir 2020, ia melancarkan satelit untuk menguji penghantaran isyarat terahertz.
2. Amerika Syarikat
Tidak mahu ‘kalah’ dengan China, AS juga memulakan penyelidikan 6G pada tahun 2018 dengan Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) membuka spektrum frekuensi yang lebih tinggi untuk ujikaji. ‘A Next G Alliance’ telah dimulakan pada tahun 2020, dengan syarikat-syarikat gergasi seperti Apple, AT&T dan Google.
3. Korea Selatan
Walaupun Korea Selatan memulakan penyelidikan lebih awal daripada China dan AS, mereka yakin dengan rancangan melancarkan teknologi ini tiga tahun sebelum China iaitu pada 2026. Sama seperti AS, beberapa syarikat terbaik dalam teknologi di Korea telah menjalin kerjasama dalam membangunkan 6G seperti LG, Samsung dan SK Telecom.
4. Jepun
Tidak terkecuali selepas negara-negara di sekitarnya dalam pembangunan 6G, Jepun mula membangunkan teknologi ini pada tahun 2020 dan berhasrat untuk melancarkan teknologi data mudah alih generasi berikutnya pada tahun 2030. Seperti AS dan Korea Selatan, Jepun telah melakukan kerjasama dengan syarikat gergasinya seperti Sony, NTT dan Intel dalam projek ini.
5. Kesatuan Eropah (EU)
Tidak melibatkan kerjasama semua negara di Eropah, syarikat Nokia dari Finland mengetuai projek ini pada tahun 2020 dengan kerjasama University of Oulu. Sementara di Jerman, Next Generation Mobole Networks Alliance juga melakukan projek penyelidikan 6G pada tahun lalu dengan bantuan kerajaan mereka.
Selain itu, University of Surrey (UK) juga telah melancarkan Pusat Inovasi 6G pada tahun 2020, sambil Institut Sains dan Teknologi Skolkovo dari Rusia juga mengumumkan telah mencipta peranti yang dapat membantu mengembangkan komponen sistem 6G.
Sumber: Bloomberg / Technology Magazine