Astro Semarakkan Syawal 2026 Dengan Pelbagai Kandungan Istimewa Untuk Seisi Keluarga

Sempena sambutan Aidilfitri tahun ini, Astro tampil dengan pelbagai kandungan istimewa merentasi televisyen, radio dan platform digital bagi memeriahkan lagi musim perayaan.

Mengangkat tema “Bila Bersama, Lagi Jadi”, Astro membawakan rangkaian program yang meraikan semangat kebersamaan, kekeluargaan dan kegembiraan yang sering menjadi inti pati sambutan Syawal.

astro semarakkan syawal 2026 dengan pelbagai kandungan istimewa untuk seisi keluarga

Sebagai tradisi tahunan, Astro turut mempersembahkan sebuah filem pendek Raya yang menyentuh hati penonton. Iklan Raya tahun ini mengisahkan persaingan lucu antara dua sahabat kampung, Samad dan Razak, yang berlumba menyiapkan pelita panjut. Namun persaingan tersebut tanpa disedari menyebabkan perpecahan dalam komuniti kampung sebelum mereka akhirnya menyedari bahawa kemeriahan Aidilfitri sebenarnya terletak pada semangat kebersamaan.

Filem pendek berdurasi 15 minit itu diarahkan oleh Hyrul Anuar dan menampilkan barisan pelakon popular seperti Adlin Aman Ramlie, Faizal Hussein, Bell Ngasri, Noryn Aziz, Azhan Rani serta Sharifah Shahirah.

Sajian Telefilem dan Drama Raya

Bagi platform televisyen pula, Astro mempersembahkan 16 telefilem khas Raya yang akan mula ditayangkan pada 1 Syawal di Astro Ria dan Astro Prima.

Antara telefilem yang menjadi tumpuan termasuk Dia Bukan Syurga Raya, spin-off daripada megadrama popular yang mengisahkan konflik cinta antara dua beradik. Selain itu, penonton juga boleh menyaksikan Kerikil Depan Rumah yang membawa kisah tragik pasangan suami isteri yang bergelut dengan trauma selepas satu kejadian jenayah.

Bagi yang gemarkan komedi ringan, telefilem Raya Jujur Je menjanjikan hiburan santai bersama keluarga.

Beberapa drama popular juga diteruskan sepanjang musim Raya termasuk musim kedua Andai Itu Takdirnya, komedi keluarga Keluarga Iskandar 3, serta drama konflik Mencari Isteri Sempurna.

Konsert, Program Hiburan dan Komedi

Selain drama dan telefilem, Astro turut menyediakan pelbagai program hiburan khas sempena Syawal.

Antara yang dinanti-nantikan ialah Konsert GenKRU, kemunculan semula kumpulan legenda KRU di pentas besar. Turut memeriahkan sambutan adalah Majlis Tertinggi Rockqueen Ella 2026, Sembilu The Reunion Live In Concert yang menghimpunkan Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain, serta Gegar Vaganza Raya Special.

Program hiburan lain seperti MeleTOP Raya, Bombastika Raya, dan Talk To My Manager Raya juga dijangka menambahkan lagi kemeriahan sambutan Aidilfitri.

Filem dan Kandungan Digital

Bagi peminat filem, Astro First turut membawakan filem animasi Papa Zola The Movie bermula 19 Mac 2026, manakala drama kekeluargaan Abah Saya Uncle Mike boleh dilanggan bermula 2 April 2026.

Dalam masa sama, Astro Shaw juga menampilkan dua filem baharu di pawagam iaitu Malaikat Malam dan Mikael: Pemburu Dua Alam sempena musim perayaan ini.

Di platform digital pula, Astro Gempak menyediakan pelbagai kandungan Raya menarik seperti Travel Balik Utara, Gempak Most Wanted Raya dan musim baharu Sayang Ajar Masak Raya.

Lagu Raya dan Inisiatif Radio

Astro turut memeriahkan lagi suasana perayaan dengan beberapa lagu Raya baharu daripada artis popular seperti Hael Husaini, Dayang Nurfaizah, Nadeera, Wani Kayrie dan kumpulan ALPHA.

Selain itu, Astro Audio buat julung kalinya memperkenalkan lagu Raya khas berjudul “Inilah Raya” yang menampilkan hampir 20 penyampai radio daripada rangkaian stesen ERA, SINAR, THR GEGAR dan ZAYAN.

Melalui pelbagai kandungan yang disediakan, Astro berharap dapat terus menjadi teman rakyat Malaysia sepanjang Ramadan dan Syawal dengan hiburan yang menyatukan keluarga dan mencipta kenangan indah bersama insan tersayang.