‘Malam Terlarang’ Kekal No.1 Di Carta GSC! Dinobat Sebagai Filem Seram 2025

Filem Malam Terlarang terus mencipta fenomena di pawagam apabila berjaya mengekalkan kedudukan No.1 di Carta Top 10 GSC sejak hari pertama tayangan, sekaligus mengukuhkan statusnya sebagai filem seram paling berjaya tahun 2025.

Sejak mula ditayangkan pada 30 Oktober lalu, naskhah seram thriller terbitan Astro Shaw ini mendapat sambutan luar biasa daripada penonton, bukan sahaja kerana elemen seramnya yang menggigit, tetapi juga jalan cerita yang sarat dengan nilai budaya, konflik emosi dan misteri warisan Nusantara.

‘malam terlarang’ kekal no.1 di carta gsc! dinobat sebagai filem seram 2025

Kisah Seram Berakar Dari Mitos Nusantara

Malam Terlarang menonjol melalui keberaniannya mengangkat elemen ritual mistik dan legenda tempatan seperti mitos dewi laut Pamakbul dan ritual puja pantai, sesuatu yang jarang diketengahkan dalam filem moden tempatan. Berlatarkan era 1980-an, ia membawa penonton menyelami kisah keluarga penuh rahsia, di mana watak utamanya, Mawar (lakonan Shasha Abedul), berdepan gangguan mistik selepas kematian misteri kakaknya, Safar.

Watak Omar lakonan Zul Ariffin dan Sarimah oleh Sofia Jane menambah kekuatan dramatik filem ini dengan gandingan pertama mereka di layar perak yang nyata meninggalkan kesan mendalam buat penonton.

Kekuatan Cerita, Sinematografi dan Lakonan

Disutradarai oleh Nurhanisham Muhammad (Labu) dalam debut filem arahannya, Malam Terlarang mempamerkan sinematografi yang memukau dengan penggambaran di Pantai Morib dan Kuala Selangor, menggambarkan keindahan dan kegetiran alam mistik dengan sinergi yang luar biasa.

Selain Shasha, Zul dan Sofia, filem ini turut dibintangi barisan pelakon berpengalaman seperti Sabri Yunus, Normah Damanhuri, Hasnul Rahmat, serta pelakon muda Haneesya Hanee, Aila Azizul dan Sadiq M. Jamil.

Menurut Raja Jastina Raja Arshad, Penerbit Eksekutif dan Ketua Astro Shaw, “Genre seram sentiasa mendapat tempat di hati penonton. Namun, Malam Terlarang membawa pendekatan berbeza dengan kisah berteraskan budaya Nusantara. Elemen lokal ini memberikan keaslian dan kekuatan tersendiri, menjadikannya sebuah naskhah segar untuk penonton tempatan dan berpotensi ke peringkat antarabangsa.”

‘malam terlarang’ kekal no.1 di carta gsc! dinobat sebagai filem seram 2025

Fenomena Seram Tempatan 2025

Kejayaan Malam Terlarang mengekalkan kedudukan teratas di carta GSC membuktikan minat penonton terhadap naskhah seram berkualiti tempatan masih tinggi. Filem ini bukan sahaja menghiburkan, malah mencabar pemikiran penonton tentang kepercayaan, nafsu, dan warisan mistik yang masih membayangi masyarakat hingga hari ini.

Dengan momentum ini, Malam Terlarang bukan sekadar filem seram — ia kini dianggap sebagai fenomena budaya pop tempatan 2025, menggabungkan tradisi, emosi dan ketakutan dalam satu pengalaman sinematik yang tidak mudah dilupakan.

Saksikan Malam Terlarang, kini di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei. Ikuti perkembangan lanjut di media sosial Astro Shaw dan Astro Gempak dengan hashtag #MalamTerlarang.