Kisah Mengenai Banglo Misteri Di Johor Yang 'Ghaib'

Pernah tak korang terdengar mengenai kisah sebuah banglo di Johor Bahru yang ghaib kira-kira 20 tahun lalu?

kisah mengenai banglo misteri di johor yang 'ghaib'

Kisah tersebut pernah menjadi sebutan hangat orang ramai sehingga banyak versi yang pernah diceritakan tentang misteri kehilangan banglo tersebut.

Bagaimanapun, terdapat juga pihak yang mendakwa kisah berkenaan kehilangan banglo itu hanyalah rekaan semata-mata.

Misteri kehilangan banglo ini dikatakan mula menjadi buah mulut orang ramai sekitar 2003 atau 2004 yang mana pada ketika itu, penduduk di sebuah taman yang terletak di Masai, Johor digemparkan dengan satu kejadian aneh melibatkan sebuah kediaman banglo yang kononnya ghaib begitu sahaja dalam tempoh satu malam.

Biarpun pada waktu itu masih belum ada media sosial seperti sekarang, namun kisah mengenai banglo itu tular.

Tentang bagaimana kediaman dua tingkat itu hilang, sukar pula dijelaskan. Namun, struktur asas seperti tangga, mangkuk tandas dan lantai jubin, dikatakan kekal berada di tanah selepas terjadinya kejadian tersebut.

kisah mengenai banglo misteri di johor yang 'ghaib'

Pada 2013, satu majalah terbitan tempat yang sering menerbitkan mengenai kisah-kisah aneh pernah melawat ke lokasi terbabit.

Difahamkan bahawa terdapat beberapa deretan lot rumah banglo yang ada di situ, namun ada satu lot tanah lapang yang berukuran sekitar suku ekar.

Tanah lapang itu dikatakan berkedudukan nombor dua dari bahagian tepi.

Sementara kawasan sekeliling perumahan terbabit dilihat punya kelibat penghuni, lain pula dengan lot banglo kosong itu yang hanya tinggal pagar.

Namun, struktur tapak asal rumah tersebut seperti tangga dan sebagainya kelihatan telah diturap untuk dijadikan sebagai gelanggang bola keranjang persendirian yang difahamkan dibina oleh jiran yang tinggal di kediaman sebelah.

Maklumat yang terhad mengenai banglo tersebut akhirnya membawa pasukan wartawan majalah tersebut untuk bertemu dengan seorang bekas pegawai penilai hartanah di daerah Masai yang dikenali sebagai Khalis.

Berdasarkan perkongsian Khalis, kehilangan banglo itu bukanlah berkaitan dengan mana-mana aktiviti paranormal seperti yang mana didakwa beberapa pihak. Kedudukan kediaman itu dikatakan telah diubah oleh pemilik asal atas beberapa sebab tertentu dan bukanlah hilang sekelip mata seperti mana yang diperkatakan selama ini.

Tambah Khalis lagi, kediaman itu dibina dengan menggunakan teknologi blok pasang siap, justeru pemilik asalnya telah mengambil struktur binaannya untuk didirikan semula di tempat lain, tidak termasuk struktur lain-lain seperti jubin dan tangga.

Tetapi, lokasi baru banglo itu tidak diketahui dan sebabnya juga tidak pernah didedahkan.

Sebagai tambahan, Khalis turut berkongsi yang tanah itu telah dibeli pemilik banglo jiran yang tinggal bersebelahan lot kosong itu.

Difahamkan bahawa pemilik baru tanah itu tidak mendirikan rumah baru di lot lapang itu dan hanya menjadikannya sebagai kawasan untuk melakukan aktiviti riadah.

Walaubagaimanapun, maklumat yang diperoleh ini adalah hasil daripada perkongsian pada 2013. Terdapat kemungkinan, keadaan semasa banglo tersebut telah berubah mengikut peredaran masa.

 

Sumber: [1]