Besar kemungkinan, anda pernah terlihat bangunan yang dikenali sebagai Amber Court ini dalam mana-mana vlog paranormal yang dimuat naik di YouTube.
Cerita di sebalik Amber Court ini adalah, bangunan ini pada asalnya merupakan tempat peranginan buat mereka yang berkunjung ke Genting Highlands.
Namun, Amber Court kemudiannya dijual sebagai unit pangsapuri gara-gara krisis kewangan yang melanda negara sekitar 1997 hingga 1998.
Kesannya, tinggallah 23 tingkat bangunan pangsapuri yang mana sebahagian besarnya tidak mempunyai penghuni, ditambah pula dengan alga merah menyerupai darah yang terdapat pada muka bangunan tersebut.
Bukan itu sahaja, Amber Court juga popular dengan kisah bunuh diri dan aktiviti paranormal yang sering dijalankan di dalam unit-unit pangsapuri terbabit.
Biarpun begitu, anda mungkin terkejut untuk mengetahui bahawa bangunan ini sebenarnya masih dihuni golongan penyewa dan turut beroperasi sebagai homestay buat individu yang merasai sendiri pengalaman paranormal di bangunan tersebut.
Agak menggerunkan juga apabila ada yang berkongsi bahawa mereka pernah terlihat penampakan seorang wanita tanpa kepala selain terdengar suara wanita menjerit atau meraung.
Selain itu, ada juga yang mengatakan mereka pernah terdengar bunyi-bunyi pelik seperti ketukan pintu.
Antara ura-ura yang terkenal mengenai Amber Court termasuklah unit B6 tingkat 17 yang dikatakan paling berhantu di bangunan tersebut.
Satu filem seram Malaysia yang berjudul Haunted Hotel 2 arahan Ryon Lee, pernah menjalani penggambaran di sini.
Menurut salah seorang pelakon yang pernah membintangi filem tersebut, dia mendedahkan dia pernah terdengar bunyi ketukan pintu ketika penginapannya di situ.
Sumber: The Smart Local