Keluarga Tak Ambil Peduli, Warga Emas Bawa Diri Tinggal Di Gua Selama 30 Tahun

Seorang warga emas di Indonesia memilih untuk menetap di gua selama 30 tahun selepas tidak dihiraukan keluarganya sendiri.

keluarga tak ambil peduli, warga emas bawa diri tinggal di gua selama 30 tahun

Memetik laporan sumber, lelaki yang dikenali sebagai  Yudi Iswantoro itu berusia 72 tahun serta mula tinggal di sebuah gua di Desa Mulyoarjo, Malang, Jawa Timur selepas bercerai dengan pasangannya, Siti Aisyah.

“Saya berasal dari Semarang dan semasa berkahwin, saya dikurniakan tujuh cahaya mata dan tinggal bersama keluarga.

“Namun, sejak saya dan isteri bercerai, hubungan saya dengan keluarga serta anak-anak mulai renggang dan akibat terasa dipinggirkan, saya tinggal di dalam gua di Lawang,” ujarnya.

Menurut Yudi, sepanjang dia tinggal di gua tersebut, tiada seorang pun darah dagingnya yang ke mari bertanyakan khabarnya.

Isteri dan anak-anaknya bagaimanapun, masih hidup dan kini tinggal di Singosari, Malang, tambahnya.

“Sepanjang saya tinggal di gua, saya hanya makan makanan yang disumbangkan oleh penduduk sekitar atau mencari di kawasan terdekat.

“Sekarang, saya bersyukur dan berterima kasih kepada pihak berkuasa kerana membawa saya keluar dari gua itu dan tinggal di pusat kebajikan yang lebih selesa,” ujarnya.

Sementara itu, anak bongsu Yudi, Bayu Cahyo berkata bapanya itu mula tinggal di gua sejak dia masih bayi.

“Bapa meninggalkan kami anak-beranak begitu sahaja dan membawa diri, selain ibu saya juga sering dipukul ketika berkahwin dengan bapa.

“Mungkin sebab itu ibu meninggalkan bapa kerana tidak tahan dengan sikap panas barannya,” katanya.

Yudi telah dibawa untuk menerima rawatan di pusat kebajikan warga emas Khusnul Khotimah di Desa Wajak. Keadaannya dilaporkan semakin baik.

 

Sumber: Kompas