Seorang wanita di Singapura bersungguh-sungguh mencari hamster peliharaannya yang mati yang dipercayainya telah dijelmakan semula untuk menjalani kehidupan sama sebagai seekor hamster sekali lagi.
Mindy (bukan nama sebenar) menawarkan ganjaran S$500 (RM1,575) untuk mencari hamsternya, Taffy, yang meninggal dunia pada Disember tahun lalu.
Walaupun Mindy tahu bahawa ceritanya mungkin kelihatan tidak masuk akal, dia juga meminta bantuan rakan-rakan yang mesra dengannya untuk membantu mengesan hamster itu.
Portal berita Singapura, Mothership melaporkan bahawa usaha Mindy mencari Taffy bermula apabila dia bertemu dengan seorang komunikator haiwan selepas dia mempunyai rancangan untuk menamatkan hidupnya apabila Taffy meninggal dunia.
“Kehendak saya untuk hidup mati bersama Taffy. Tetapi saya mendekati seorang komunikator haiwan walaupun saya meraguinya pada mulanya,” katanya.
Mindy kemudian mendapatkan khidmat komunikator terbabit menerusi satu sesi yang membolehkan pemilik haiwan peliharaan dan haiwan peliharaan mereka berhubung.
Mindy yang mengalami dysthymia, juga dikenali sebagai gangguan kemurungan berterusan (PDD) dan gangguan kemurungan utama (MDD) sejak lima tahun lalu, sering keluar masuk hospital.
Bagaimanapun, ketika Taffy masih hidup, dia akan bermain bersama haiwan peliharaannya itu yang sedikit sebanyak membantu melegakan emosinya.
Mindy juga memulakan kedai dalam talian yang menjual makanan untuk hamster dan haiwan peliharaan kecil selepas mendapat inspirasi daripada Taffy.
“Saya memulakan perniagaan kerana Taffy sangat cerewet tentang makanannya, dia hanya akan makan tauhu kering beku jenama tertentu.
“Tetapi ia membuatkan saya gembira untuk membeli makanan ini untuknya,” katanya.
Sumber: [1]