Seorang wanita dari Bristol, London terpaksa mengunci kabinet dapur di rumahnya bagi mengelakkan kucingnya mencuri makanan.
Sara Matthew, 47, merasa pelik kerana kucingnya itu berada dalam keadaan gemuk dan sihat serta cukup makan, namun sentiasa merasa lapar.
Malahan beliau sanggup membelanjakan kira-kira 2,500 pound (kira-kira RM14,360) bagi melakukan ujian dan pemeriksaan termasuk ujian darah pada kucing yang diberi nama Keith untuk mengetahui punca haiwan peliharaannya yang sentiasa lapar.
Keith merupakan seekor kucing terbiar, telah diambil dan dipelihara Sara sehingga beratnya kini 10.88 kilogram (kg), dua kali ganda lebih berat berbanding kucing biasa.
Kucingnya itu sering mencuri makanan dalam kabinet serta tong sampah termasuklah rumah jirannya serta makanan kucing lain.
“Kucing saya akan masuk ketika peti sejuk dibuka dan tak peduli jika kabinet dapur dikunci, Keith masih akan mencari jalan untuk makan.
“Keith merupakan kucing yang aktif dan saya rasa ia tak kisah dengan berat badannya yang semakin meningkat,” katanya.
Menurut Sara lagi, ketika kucingnya itu dipelihara, ia berada dalam keadaan kekurangan zat dan mempunyai masalah kesihatan, hingga perlu diberi makanan khas.
Sumber: [1]