Seorang wanita berusia 44 tahun di Korea Selatan telah mencuri perhatian ramai apabila menjadikan kawan baiknya sebagai anak angkat yang sah disisi undang-undang.
Wanita itu berbuat demikian selepas sedar dia dan rakannya memerlukan hubungan lebih kukuh untuk saling menjaga sesama mereka.
Eun Seo-ran yang dibesarkan dalam keluarga patriarki Korea Selatan yang stereotaip di mana bapanya mencari nafkah manakala ibunya pula suri rumah. Seo-ran enggan menjadi seperti ibunya lalu memutuskan untuk tidak berkahwin mahupun mempunyai anak.
Pada 2016, Seo-ran bertemu dengan wanita bernama Lee Eo-rie, 38, yang mempunyai pemikiran sama dengannya selepas dia berpindah jauh darupada tekanan kehidupan di bandar. Sejak itu, Seo-ran dan Eo-rie menjadi kawan baik dan tinggal bersama dalam sebuah rumah.
Mereka memutuskan untuk hidup bersama dan saling menjaga satu sama lain pada usia tua mahupun ketika situasi kecemasan.
Bagaimanapun, ketika Seo-ran dimasukkan ke hospital kerana menghidap sakit kepala kronik, dia sedar bahawa undang-undang negara itu hanya membenarkan ahli keluarga membuat keputusan kritikal dan melawat di hospital.
Mulanya, mereka memikirkan pelbagai cara termasuk berkahwin, namun negara itu tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis. Oleh itu, Seo-ran tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa mengambil Eo-rie sebagai anak angkatnya.
Seo-ran hanya perlu membuktikan bahawa dia lebih tua daripada kawan baiknya itu dan mendapat persetujuan ibunya, sebelum semua dokumen diserahkan untuk pengambilan anak angkat.
Dan dalam masa 24 jam, Eo-rie telah sah secara undang-undang menjadi anak angkat kepada Seo-ran.
“Apa yang kami mahu adalah menjaga satu sama lain, membuat keputusan penting mengenai perubatan atau melakukan majlis pengebumian apabila salah seorang daripada kami meninggal dunia.
“Namun, semua itu tidak boleh dilakukan di Korea Selatan melainkan kami adalah keluarga sah,” kata Seo-ran.
Sumber: Oddity Central