Akibat ragu-ragu dengan kelayakan akademik bakal suaminya, seorang wanita di India bertindak membatalkan majlis perkahwinannya sendiri ketika majlis tersebut berlangsung.
Menurut laporan media tempatan, pengantin lelaki tersebut telah pun tiba di dewan perkahwinan bersama rombongan daripada pihaknya ketika berlakunya kejadian tersebut.
Sebelum kedua-dua pengantin itu sebelum bertukar kalung bunga sesama sendiri, wanita tersebut meminta bakal suaminya itu untuk menyebut sifir dua.
Namun, kegagalan pengantin lelaki itu untuk berbuat demikian menyebabkan wanita tersebut terus bertindak bangun dan meninggalkan dewan perkahwinan itu.
Difahamkan bahawa wanita tersebut terlebih dahulu pernah mengesyaki yang keluarga pihak lelaki itu berlaku tidak jujur terhadap tahap pendidikan pengantin lelaki tersebut.
Media tempatan turut melaporkan ahli keluarga pengantin perempuan itu cuba memujuknya agar berubah fikiran namun tegasnya, dia tidak akan mengahwini lelaki yang tidak tahu asas matematik.
“Keluarga pengantin lelaki tidak memberitahu kami dengan tepat tentang tahap pendidikannya. Mungkin juga dia tidak pernah ke sekolah,” ujar sepupu pengantin perempuan terbabit.
Perkahwinan tersebut merupakan aturan kedua-dua belah keluarga dan bukan atas dasar cinta antara pengantin perempuan mahupun pengantin lelaki tersebut.
Sejurus insiden berkenaan terjadi, kedua-dua keluarga tersebut mencapai kata sepakat dan memulangkan semula kesemua hadiah perkahwinan.
Sumber: [1]