Misteri tayar kereta penduduk di kota Vastogirardi, yang menempatkan sekitar 600 orang di selatan Itali akhirnya terbongkar yang mana ia sebenarnya berpunca daripada seekor anjing yang menderita sakit gusi dan gigi.
Anjing berkenaan yang mengalamai sakit gingivitis menjadi punca kepada misteri tayar kereta penduduk di kota itu yang sering pancit hampir setiap hari.
Pemilik kenderaan yang meletakkan kereta di kawasan terbuka akan mendapati tayar kereta mereka menjadi pancit secara tiba-tiba namun tiada suspek dilihat melakukan perbuatan itu.
Kejadian yang berlaku sejak Julai lalu berlarutan hingga Oktober, melibatkan beberapa kenderaan lain di sekitar bandar tersebut.
Penduduk disitu mula beranggapan insiden tayar pancit ini adalah disebabkan perbuatan kumpulan samseng, namun mereka tidak pula menemui sebarang bukti yang boleh mengaitkan teori mereka itu.
Kejadian aneh itu telah mendapat siasatan lanjut oleh The Investigative Unit of the Carabinieri of Isernia yang kemudian memasang beberapa kamera litar tersembunyi (CCTV) di sekitar bandar berkenaan.
Selepas beberapa hari pemerhatian dibuat, barulah mereka sedar insiden tayar pancit itu adalah perbuatan seekor anjing tempatan yang diberi nama Bily.
Bily, anjing milik seorang penduduk di bandar itu telah dilihat menggigit bumper dan tayar hadapan hingga menyebabkan ia pancit.
Pemiliknya mengakui Bily mengalami masalah gingivitis, iaitu keadaan dimana rasa sakit pada gusi dan gigi, namun pemiliknya tidak menyangka anjingnya itu akan melakukan perbuatan jenayah diseluruh bandar.
Disebabkan itu juga, pemilik anjing tersebut kini terpaksa menanggung kos baik pulih kenderaan yang telah terjejas akibat daripada perbuatan anjingnya ini.
Sumber: Oddity Central