Steady, Pelanggan Di Kedai Makan Thailand Ini Kekal Menjamu Selera Dengan Gembira Walau Banjir

Naik dan turunnya Sungai Chao Phraya, Thailand terbukti menjadi tarikan untuk sesetengah orang di negara tersebut.

steady, pelanggan di kedai makan thailand ini kekal menjamu selera dengan gembira walau banjir

Manakan tidak, seorang pemilik restoran di kawasan berhampiran, Titiporn Jutimanon khuatir sekiranya banjir yang melanda akan mengakhiri perniagaannya yang telah pun mengalami kesulitan sejak pandemik COVID-19 melanda.

Tetapi, dengan arus Sungai Chao Phraya yang menaik pada Ahad lalu ternyata membuka peluang yang tidak pernah disangka-sangka.

Daripada menutup restorannya kerana banjir, restoran milik Titiporn tetap terbuka untuk pelanggan yang bergembira menjamu selera biarpun dibanjiri air sungai pada paras kaki.

“Pelanggan sangat menyukai ombak,” kata Titiporn yang mengendalikan kafe antik Chao Phraya di Nonthaburi, utara Bangkok.

“Apa yang saya fikir akan menjadi krisis berubah menjadi peluang.”

Lanjut Titiporn, perniagaannya terpaksa ditutup ketika perintah berkurung COVID-19.

Tetapi dia gembira kerana keputusan beraninya untuk meneruskan perniagaan ketika musim banjir membuahkan hasil.

“Saya berasa sangat bertuah kerana pelanggan menyukainya, banjir bukanlah cabaran bagi mereka untuk datang,” luah Titiporn.

Dalam satu video yang tular di media sosial, jelas kelihatan para pelanggan yang duduk di atas kerusi basah dan menjamu selera sambil melihat bot yang lalu, yang mana mereka kemudian bergerak menjauhi tempat makan mereka ketika ombak mendekati kerana bot yang lalu lintas di kawasan sekitar itu.

Para pelanggan juga bersorak dan ketawa sesama sendiri ketika kerusi kayu mereka dilanggar ombak tersebut.

“Ini adalah cabaran yang menyeronokkan – anda tidak tahu sama ada anda akan dihanyutkan ketika makan,” gurau salah seorang pelanggan di restoran itu yang dikenali sebagai Jetdanai Boonrod.

 

Sumber: [1]