Seorang wanita berusia 40 tahun telah mencuri perhatian ramai selepas sanggup berhenti kerja demi menjadi ‘anak sepenuh masa.’
Nianan, sebelum ini telah mengabdikan 15 tahun hidupnya sebagai pekerja kepada agensi berita, telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan pada tahun lalu.
Tuntutan kerjanya telah memberi kesan terhadap kesihatannya, memerlukan beliau bersedia hampir setiap masa dan menimbulkan tekanan yang terlalu berat baginya.
Sedar akan tekanan kerjaya dihadapi Nianan, ibu dan bapanya telah menyediakan pilihan alternatif yang menarik untuknya.
"Kenapa tidak berhenti kerja? Kami akan menyara anda dari segi kewangan," demikian tawaran yang dibuat ibu bapa Nianan, dengan jaminan elaun bulanan sebanyak 4,000-yuan (kira-kira RM2617.90) jika dia sanggup berpindah dan tinggal bersama mereka.
Tawaran ‘kerja’ ini sekali gus menghapuskan beban kos perumahan dan secara ketara mengurangkan perbelanjaannya untuk makanan, kerana ibu bapa Nianan juga bersedia menanggung kos-kos tersebut.
Dengan penuh rasa syukur, Nianan akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada pekerjaannya di agensi berita dan menerima tawaran bekerja sebagai 'anak sepenuh masa'.
Kini selepas setahun di bawah penjagaan ibu bapanya, Nianan dengan penuh kasih menggambarkan ‘pekerjaan’ barunya itu sebagai suatu yang dipenuhi dengan cinta.
Hari-harinya kini dipenuhi dengan aktiviti seperti menemani ibu dan bapanya membeli-belah, memasak bersama setiap malam, menyediakan pengangkutan apabila diperlukan, dan meluangkan masa selama sejam setiap hari untuk menari bersama mereka.
Nianan juga bertanggungjawab untuk menguruskan rumah dan merancang percutian keluarga, biasanya satu atau dua kali dalam sebulan.
Walaupun rutinnya kelihatan menyenangkan, wanita berusia 40 tahun itu mengakui bahawa kadang-kadang timbul keinginan untuk mendapatkan lebih banyak pendapatan, dan mujurlah ibu bapanya memberikan sokongan kepada cita-citanya.
Ibu bapa Nianan memberinya jaminan, "Jika awak menjumpai pekerjaan yang lebih sesuai, kejarlah ia. Jika anda tidak mahu bekerja, tinggal di rumah dan nikmati masa bersama kami."
Nianan memberitahu bahawa gaji bulanan yang diperolehnya adalah daripada pencen ibu bapanya, yang berjumlah kira-kira 100,000-yuan (kira-kira RM65 ribu).
Tawaran ‘pekerjaan’ yang luar biasa ini telah mencetuskan pelbagai reaksi berbeza warganet di China, dengan sesetengah orang mengkritik wanita tersebut kerana bergantung kepada kewangan ibu bapanya, sementara yang lain berpendapat bahawa perkara itu adalah isu keluarga yang sepenuhnya peribadi.
Sumber: Oddity Central