Seorang saintis mempunyai satu perancangan unik untuk menyelamatkan planet daripada pemanasan global, iaitu dengan memantulkan kembali sinar matahari menggunakan payung gergasi yang diikat pada asteroid.
Idea ini melibatkan pemasangan payung selebar lebih 600-kilometer dengan beratnya mencecah 3.5 juta tan, pada jarak sejauh sejuta batu jauhnya di angkasa.
Cara ini akan menolak sinar matahari dari sampai ke Bumi, sekaligus dapat menurunkan suhu dan mengurangkan kesan perubahan iklim.
Dr Istvan Szapudi, dari Universiti Hawaii berkata, payung gergasi itu diperbuat daripada bahan sangat ringan yang boleh memantulkan cahaya kembali ke matahari.
Katanya, payung gergasi itu akan ditempatkan berdekatan dengan kawasan angkasa yang dikenali sebagai titik Lagrange pertama - atau L1 - di mana daya graviti bumi dan matahari berada dalam keseimbangan.
Untuk mengelakkan payung itu terhumban jatuh ke Bumi oleh tekanan sinaran solar, saintis itu mencadangkan ia boleh diikat pada batu asteroid menggunakan tali sepanjang 600,000 batu.
Dalam kajian yang diterbitkan di Proceedings of the National Academy of Sciences, beliau menyatakan bahawa tindakan ini boleh mengurangkan jumlah tenaga solar yang mencapai bumi sebanyak 1.7%.
"Anda tidak akan melihat perubahan apa-apa di Bumi kecuali gelombang haba menjadi berkurangan.
"Jelas ini akan memerlukan kos yang tinggi. Ini hanyalah cadangan atas kertas saintifik. Ini hanya permulaan,” katanya.
Idea ini mendapat sokongan oleh pakar lain, meskipun mereka tahu betapa sukarnya untuk melaksanakan idea tersebut.
Sumber: Daily Star