Percaya tak kalau kami katakan terdapat berbilion-bilion bakteria dalam mulut kita semua dan kesemua bakteria tersebut telah pun wujud sejak kita masih bayi lagi?
Itulah yang didedahkan oleh Purnima Kumar, Ph.D., seorang profesor bidang periodontologi di Ohio State University.
Mikrobioma oral merujuk kepada semua jenis bakteria berserta gennya, yang hidup di dalam mulut anda.
Namun, walaupun mikrobioma terbabit terpisah daripada mikrobioma lain misalnya seperti yang berada di dalam usus kita, setiap ekosistem ini sebenarnya saling mempengaruhi antara satu sama lain.
Menurut Kumar, setiap kali kita meminum segelas air, kita menelan berjuta-juta bakteria.
Bukan itu sahaja, setiap kali kita memakan makanan atau mengucup bibir dengan pasangan, bakteria yang berlainan pula bakal memasuki ke dalam mulut.
Namun, tidak semua daripada bakteria itu kekal, hanya sebilangan sahaja yang akan terus berada di dalam tubuh badan kita.
Walaupun para saintis masih lagi menyiasat mengenai segala mekanisme yang terlibat dalam pembuatan mikrobioma oral dan sebab mengapa sesetengah bakteria tidak mahu meninggalkan tubuh badan seseorang, kita tahu bahawa ia telah pun mula terbentuk sejak kita dilahirkan lagi.
Salah satu faktor utama yang diketahui para saintis yang mempengaruhi mikrobioma oral kita adalah berpunca daripada kesihatan mulut ibu kita sendiri.
Sekiranya seseorang ibu itu menghidap penyakit gusi atau merokok ketika ia hamil, terang Kumar, besar kemungkinan bakal bayinya itu akan dilahirkan dengan lebih banyak patogen di mulutnya.
Akibatnya, bayi tersebut cenderung untuk mengalami masalah gigi berlubang dan penyakit gusi di kemudian hari.
Sumber: JnJ