Sehingga ke hari ini, manusia masih belum meneroka sekurangnya 65 peratus permukaan Bumi, termasuk darat dan lautan. Sudah pasti terdapat banyak lagi penemuan unik yang belum dicatatkan pengkaji di seluruh dunia.
Ia termasuklah lubang misteri atau gua yang terdapat di wilayah Yunnan, China ini yang mana menempatkan pelbagai flora dan fauna hidup dalam sistemnya tersendiri.
Para penyelidik yang mula meneroka lubang misteri itu juga telah mengumpulkan pelbagai spesimen tanaman yang jarang ditemui.
Oleh kerana lokasinya yang unik terasing daripada ‘dunia’ luar, lubang misteri ini telah menyediakan tempat perlindungan yang sesuai untuk tumbuh-tumbuhan dan haiwan tertentu.
Menurut pengkaji, banyak spesies yang tidak dapat lagi dilihat selama lebih dari satu abad ditemui dalam kawasan ini. Salah satu penemuan yang paling menarik adalah tumbuhan Whytockia chiritiflora, yang terakhir direkodkan oleh ahli botani Inggeris pada tahun 1893.
Tiga bulan yang lalu di lubang yang sama, para penyelidik dari Institut Botani Kunming juga telah menemui dua spesies tumbuhan unik iaitu Petrocosmea grandiflora dan Elaeagnus bambusetorum, yang tidak dapat lagi ditemui selama lebih dari 100 tahun lalu.
Ekspedisi yang masih diteruskan ini kata mereka dapat memainkan peranan yang penting dalam memelihara spesies yang terancam. Mereka juga merancang untuk meneroka lebih banyak lagi lubang misteri yang ada dalam rantau ini dimasa akan datang.
Sumber: [1]