Seorang petani telah mengejutkan ramai pihak selepas berpindah dari kampung ke bangunan apartment di bandar dekat wilayah Sichuan, China.
Mana tidaknya, petani itu bukan sekadar berpindah rumah sebaliknya turut membawa bersama tujuh ekor anak lembu dan dipelihara dekat kawasan balkoni.
Keputusan ini nyata mengejutkan jiran-jirannya selepas mereka terjaga pada suatu pagi dengan bunyi moo oleh lembu berkenaan, serta bau najis yang kuat.
Lembu-lembu tersebut, yang beratnya antara 10 hingga 20-kilogram setiap satu, telah menjadi ‘mimpi ngeri’ buat penduduk di apartment lima tingkat itu.
Akibatnya, ramai penduduk disitu melaporkan keadaan tersebut kepada pihak berkuasa, yang menyebabkan tindakan segera. Pada keesokkan harinya, haiwan-haiwan tersebut telah dipaksa untuk dikeluarkan.
Video lembu-lembu tersebut di balkoni apartment tersebar di Douyin, yang merupakan versi China untuk TikTok. Sementara kebanyakan penonton merasakan ini satu kejadian yang lucu, sesetengah pengguna menyatakan bahawa ramai penduduk di apartment tersebut telah menghabiskan sepanjang hidup mereka di kawasan luar bandar, di mana memelihara haiwan dan menanam sayur-sayuran adalah amalan biasa.
Menariknya, ini bukan kali pertama aduan berkaitan haiwan muncul di apartment ini. Pada bulan Januari tahun yang sama, beberapa penduduk telah mengungkapkan ketidakpuasan hati tentang penyewa lain yang memelihara ayam yang bising dalam unit mereka, menyebabkan ketidakselesaan dalam kalangan jiran-jiran.
Walaupun lembu-lembu tersebut telah dikeluarkan, pemiliknya berulang kali cuba untuk menyeludupkan lembu-lembu itu kembali ke apartmentnya di tingkat 5. Pihak berkuasa juga telah diberi amaran untuk memastikan bahawa petani tersebut tidak menyeludup semula lembu-lembu tersebut, dan mengelakkan sebarang gangguan lanjut disebabkan oleh ternakan di dalam persekitaran kediaman.
Sumber: Oddity Central