Apalah nasib, hari bahagia seorang wanita bertukar menjadi episod paling memalukan dalam hidupnya selepas ditinggalkan bakal suami akibat tidak direstui ibu mertua, ketika majlis perkahwinan mereka.
Kejadian yang berlaku di Tunisia itu berpunca daripada ibu si lelaki itu mendakwa pengantin perempuan terbabit ‘hodoh dan pendek’.
Memetik laporan Daily Star, ibu pengantin lelaki itu hanya melihat bakal pengantin perempuan itu untuk pertama kalinya pada hari perkahwinan mereka.
Sebelum itu, dia hanya pernah melihat bakal pengantin perempuan tersebut menerusi foto yang dikongsikan anak kepadanya.
Tidak berpuas hati dengan keadaan fizikal bakal pengantin perempuan itu, dia kemudian mengarahkan anaknya untuk menghentikan majlis tersebut dengan serta-merta.
Menurut Daily Star, rentetan daripada kejadian itu, bakal pengantin perempuan tersebut dilihat bergambar di sebelah pengantin lelaki yang jelas kelihatan sedang mengelap mukanya dengan sapu tangan.
Sejak kejadian tersebut, pengantin yang dikenali sebagai Lamia Al-Labawi itu tampil di media sosial untuk berkongsi mengenai peristiwa sedih yang berlaku pada hari besarnya.
Kata Lamia, dia adalah anak yatim piatu dan menghabiskan banyak wang untuk hari tersebut. Bagaimanapun, semuanya telah dirosakkan oleh wanita yang sepatutnya bergelar ibu mertuanya itu.
Sumber: Daily Star