Gara-gara bosan menunggu dalam kesesakan lalu lintas, seorang lelaki mengambil tindakan tidak masuk akal dengan melompat dari jambatan setinggi 100 kaki ke dalam perairan yang penuh dengan buaya yang berlegar.
Lelaki yang dikenal pasti sebagai Jimmy Ivan Jennings, 26, itu merempuh Sungai Atchafalaya di Louisiana, Amerika Syarikat dan kemudian tersekat di dalam perairan tersebut selama berjam-jam berikutan arus kuat yang menyukarkannya untuk berenang keluar.
Sebaik baik sahaja dia diselamatkan, Jennings kemudian mengakui ia merupakan ‘idea paling bodoh’ yang pernah dilakukannya kerana dia tidak menyangkakan bahawa perairan tersebut adalah sedalam itu.
Dalam sebuah video yang dirakamkan, Jennings dapat dilihat berlari dan melompat dari Jambatan Lembangan Atchafalaya itu.
Menurut perancangan asalnya, Jennings berniat melakukan ‘prank’ dengan menerjun dari jambatan ke dalam perairan terbabit sebelum berenang keluar untuk menuju semula ke trak yang dinaiki bersama rakannya.
Bagaimanapun, dalam kejadian yang disifatkannya ‘bagai mati hidup semula’ itu, Jennings ternyata menyesali kelakuannya.
“Saya mula jatuh dan hampir lemas beberapa kali,” katanya.
Tambahnya lagi, kesakitan yang dirasainya begitu luar biasa kerana arus air yang deras di perairan tersebut, menyebabkan dia terpaksa bertahan selama berjam-jam di dalamnya untuk menunggu arus bertukar perlahan.
Kira-kira tiga jam kemudian, masih tiada kelibat pasukan penyelamat tiba. Jennings kemudian berenang menuju ke sebuah pulau kecil berdekatan dan meminjam kapal untuk kembali ke pantai yang mana dia segera ditangkap pihak berkuasa.
Kongsi rakan Jennings yang merakam videonya terjun ke dalam perairan tersebut, iaitu Khory Vaughan, “Kami memang sudah biasa dengan perairan dan kawasan itu, tetapi saya tidak terfikir dia sudah bersedia dengan apa yang bakal terjadi dengannya.”
Menurut Pejabat St Martin Parish Sheriff, lelaki terbabit diletakkan bawah kesalahan jenayah kerosakan dan pecerobohan.
Apa-apa pun, SYOK nak berpesan, sebelum melakukan sesuatu perkara itu lagi-lagi prank yang mampu membahayakan diri seperti ini, berfikirlah panjang terlebih dahulu.
Sumber: [1]