Pasangan Kekasih Boleh Berkahwin Di Angkasa Bermula 2024!

Pasangan kekasih yang berhasrat untuk melangsungkan perkahwinan mereka menjelang 2024 kini boleh buat pilihan sama ada untuk melakukan upacara tersebut di dalam kapsul yang dibawa oleh belon angkasa berukuran stadium bola sepak yang terapung sejauh 100,000 kaki dari permukaan laut!

pasangan kekasih boleh berkahwin di angkasa bermula 2024!

Pakej tersebut ditawarkan syarikat Space Perspective yang berpangkalan di Florida, Amerika Syarikat, yang menjanjikan pengalaman luar biasa menerusi tawaran tiket penerbangan kapsulnya itu dengan harga AS$125,000 (RM528,312).

Menurut syarikat tersebut yang telah mula menjual pakej perjalanan terbabit sejak akhir Jun lalu, ramai pelanggan telah menempah perjalanan yang memakan masa selama enam jam itu, baik untuk meraikan ulang tahun mereka mahupun bagi acara korporat ‘gaya baru’, dan lain-lain acara!

Selain itu, pelanggan turut akan dibekalkan dengan kemudahan lengkap seperti bilik mandi, Wi-Fi, dan yang pasti, pemandangan bumi 360 darjah ketika berada di dalam kapsul tersebut.

Difahamkan bahawa pakej penerbangan bagi 2024 telah habis terjual!

Namun, mereka yang berminat untuk menempuh pengalaman angkasa luar biasa itu, boleh menempah ruang tersendiri bagi 2025.

pasangan kekasih boleh berkahwin di angkasa bermula 2024!

Menurut salah seorang pengasas Space Perspective, kapsul itu bakal diterbangkan dengan lembut menggunakan bola ruang angkasa, dan bukannya roket.

“Kami melancarkannya dari Pusat Angkasa Kennedy. Ia memerlukan kira-kira dua jam untuk sampai ke ketinggian 30 km,” ujar Poynter.

“Pada ketinggian puncak, anda akan melihat kegelapan sepenuhnya dan pada masa yang sama kelengkungan bumi – garis biru tipis ikonik yang sering kali diperkatakan angkasawan,” lanjutnya.

Kongsi Poynter lagi, sepanjang penerbangan, pelancong akan disediakan dengan sarapan, selain dapat beristirehat sambil menikmati pemandangan eksklusif dari angkasa itu.

Apabila tiba masanya untuk kembali ke tanah, belon gergasi tersebut akan mula mengempis dan kapsulnya akan mendarat di dalam air.

Berdasarkan perkongsian, kapsul yang mempunyai juruterbang dan boleh dikendalikan dari jarak jauh itu akan digunakan untuk beberapa penerbangan, sementara belon gergasi itu hanya dapat digunakan sebanyak sekali.

 

Sumber: [1] [2]