Pasangan Di India Ingin Saman Anak RM2.86 Juta Jika Gagal Beri Cucu

Sepasang suami isteri di India menuntut pampasan RM 2.86 juta daripada anak lelaki dan menantu mereka jika gagal melahirkan anak dalam tempoh setahun.

pasangan di india ingin saman anak rm2.86 juta jika gagal beri cucu

Sanjeev Prasad Sinha, 62, dan isterinya, Sadhana Prasad Sinha memberitahu BBC bahawa mereka telah kehabisan wang simpanan demi membesarkan anak lelaki mereka dan membayar program latihan juruterbang serta perkahwinan mewahnya.

Justeru, pasangan emas dari Uttarakhand itu menuntut pampasan termasuk kos majlis perkahwinan di hotel lima bintang, kereta mewah bernilai RM 351,000 dan perbelanjaan bulan muda.

“Anak saya sudah enam tahun berkahwin tetapi mereka masih belum merancang untuk melahirkan anak.

“Sekurang-kurangnya jika mempunyai cucu untuk meluangkan masa bersama, kesakitan kami tidak akan begitu terasa.

“Kami juga terpaksa membuat pinjaman untuk membina rumah sendiri dan kini kami melalui banyak kekangan kewangan.

“Secara mental juga kami agak terganggu kerana kami tinggal bersendirian,” kata pasangan warga emas itu kepada The National.

Pasangan itu turut menambah bahawa masyarakat juga telah menyoal mereka mengenai ketibaan cucu mereka yang menyebabkan mereka semakin sakit.

Peguam Sinhas, Arvind Kumar Srivastava berkata pasangan warga emas itu telah membelanjakan kira-kira 25 juta rupee (RM 1.42 juta) untuk anak mereka sejak lahir tidak termasuk perbelanjaan tambahan seperti untuk perkahwinan anak mereka.

“Mereka telah menuntut wang itu kerana kekejaman mental.

“Adalah impian setiap ibu bapa untuk menjadi seorang datuk dan nenek. Mereka telah menunggu selama bertahun-tahun untuk menjadi datuk dan nenek,” katanya kepada portal berita itu.

Srivastava berkata pasangan itu memfailkan pengakuan Sabtu lalu dan kes itu akan dibawa untuk dibicarakan oleh mahkamah di bandar Dehradun, India pada 15 Mei.


Sumber: [1]

ARTIKEL BERKAITAN