Sekumpulan pakar bedah di Universiti Perubatan Maryland telah berjaya mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya berjaya memindahkan jantung khinzir kepada manusia.
Penerima jantung yang diubah suai secara genetik itu merupakan seorang lelaki warga Amerika Syarikat dan ia merupakan pembedahan pertama seumpanya di dunia.
Menurut laporan, lelaki itu juga berada dalam keadaan stabil tiga hari selepas pembedahan dijalankan.
Ia sekali gus merekodkan kejayaan pertama dalam bidang perubatan yang memungkinkan pembedahan pemindahan organ kaedah baharu.
Jika berkesan, para saintis berharap organ haiwan termasuklah khinzir dapat mengurangkan isu kekurangan bekalan organ yang didermakan.
"Ini merupakan pembedahan luar biasa dan membawa kita kepada satu lagi usaha lebih pantas untuk mengurangkan masalah kekurangan bekalan organ yang didermakan.
"Ketika ini kita tidak mempunyai bekalan organ yang mencukupi terutamanya jantung manusia untuk diberikan kepada pesakit yang amat memerlukan.
"Kami sedang memantau rapi pembedahan ini, namun kami juga optimis pembedahan seumpanya, yang pertama kali dilakukan ini, akan membuahkan pilihan baharu buat pesakit pada masa akan datang," jelas salah seorang doktor yang terlibat dalam pembedahan itu, Dr. Bartley Griffith.
Difahamkan penerima organ berusia 57 tahun itu terpaksa akur dengan keputusan untuk menerima jantung khinzir memandangkan ia adalah pilihan terakhir buat dirinya.
Pembedahan ini juga diluluskan secara kecemasan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA).
Sumber: [1]