Satu objek putih telah berjaya dirakam sedang bertenggek atas kenderaan yang sedang bergerak pada waktu malam.
Kejadian berlaku di Jalan Seremban-Tampin dari Pekan Chengkau ke Kampung Tanah Datar kira-kira jam 2 pagi dipercayai adalah hantu pocong, dirakam pengguna jalan raya di belakang kenderaan yang tertulis perkataan “POLIS”.
Perkara itu mendapat perhatian Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad selepas foto dan video kejadian itu tular di media sosial.
"Berdasarkan gambar itu, kenderaan terbabit adalah dari Balai Polis Kota. Bagaimanapun kesahihan gambar itu masih belum dapat dipastikan sama ada ia tulen atau sudah disunting.
"Pihak kami juga cuba mengesan individu yang mengambil gambar berkenaan bagi mengesahkan kesahihannya," katanya.
Beliau turut berkata kejadian itu adalah antara cabaran yang perlu dihadapi polis dalam menjalankan tugas.
Foto yang memaparkan objek putih menyerupai pocong sedang berbaring atas kenderaan pacuan empat roda milik polis telah tular di media sosial, sehingga ada yang berseloroh kononnya pocong itu sedang menumpang untuk ke satu destinasi.
Sumber: HMetro