Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) optimis dan yakin manusia mampu untuk membina kehidupan serta bekerja di Bulan tidak lama lagi.
Perkara itu disuarakan ketua program NASA, Howard Hu yang kini membayangkan wujudnya rizab ais yang besar di bawah kawah gelap di kutub selatan Bulan.
Ujarnya, jika penemuan rizab ais itu berjaya disahkan, NASA akan mampu membina kilang membuat bahan api roket untuk membawa angkasawan ke Marikh serta angkasa lepas yang lebih jauh.
Howard turut berkata lagi, matlamat utama mereka adalah untuk menubuhkan pangkalan kekal di Bulan, yang turut dilengkapi stesen angkasa lepas yang dikenali sebagai Lunar Gateway. Ia akan berfungsi bagaikan stesen minyak kenderaan di Bumi.
Lunar Gateway akan menjadi stesen pengisian bahan api untuk misi ke Marikh, Musytari dan planet lain di luar angkasa.
“Kami akan menghantar manusia ke permukaan Bulan dan mereka akan hidup di sana serta melakukan penyelidikan.
“Misi Artemis (pendaratan angkasawan ke Bulan) membolehkan kami mempunyai platform dan sistem pengangkutan yang mampan serta mempelajari cara beroperasi dalam persekitaran angkasa lepas,” kata Hu.
Pembinaan stesen itu dijangkakan akan dibuat dalam masa beberapa tahun lagi.
Sumber: Kosmo! / Science Alert