Sebuah menara dengan ketinggian 10 tingkat menjadi tumpuan orang ramai gara-gara reka bentuknya yang pelik dan lain dari kebiasaan.
Menara yang terletak di sebuah bandar kecil di Guangxi, China itu malahan digelar sebagai salah satu bangunan yang paling aneh di negara tersebut.
Menurut sumber Oddity Central, menara itu terletak di bandar Xinxu, sebuah perkampungan kecil yang dekat dengan bandar Beiliu.
Berbeza dengan bangunan-bangunan lain yang terdapat di sana, menara itu merupakan yang tertinggi dan paling menarik perhatian tidak lain tidak bukan kerana reka bentuknya yang menonjol.
Difahamkan bahawa sebahagian besar menara itu diilhamkan oleh reka bentuk Rusia dan Barat.
Selain itu, ia juga mempunyai air pancut dengan reka bentuk teko dan pagar bangunan yang direka dengan gaya Perancis.
Bagi bahagian bilik pula, ia mengambil inspirasi daripada budaya Cina.
Bangunan setinggi 30 meter itu turut mempunyai beberapa ruang futuristik yang dilengkapi lampu neon terang dan layar LED.
Kombinasi reka bentuk itulah yang sukar difahami orang ramai tetapi pada masa sama, membuatkan bangunan itu menjadi antara tarikan utama di lokasi ia terletak.
Di sebalik kewujudan bangunan aneh itu, ia sebenarnya adalah hasil kerja seorang petani tempatan bernama Li Jiguang yang berasal dari bandar Xinxu.
Li difahamkan telah menghabiskan sekitar tujuh tahun untuk membina bangunan itu dengan kos kira-kira RM 9,670,719.
Ketika itu, pemerintah daerah berkenaan merancang untuk meningkatkan kadar pelancongan dengan membangunkan sebuah bangunan yang mampu menjadi tumpuan orang ramai, yang mana Li mengemukakan cadangannya yang dipersetujui.
Li kemudian diberi sebidang tanah tetapi harus membinanya dengan menggunakan perbelanjaan sendiri.
Pada ketika ini, bangunan yang dikenali sebagai Peasant Art Building itu berjaya menjadi tarikan khas para pelancong walaupun ia masih belum disiapkan sepenuhnya kerana dana yang terhad selain anggaran masa yang lama bagi menyiapkannya.
Sumber: [1]