Jika edisi Piala Dunia 2010 dahulu pernah menjadi perhatian dek kerana Paul si sotong yang berjaya meneka dengan tepat pasukan yang akan menang setiap perlawanan, Piala Dunia 2022 kini lain pula ceritanya.
Seekor memerang berusia lapan tahun tiba-tiba menjadi terkenal selepas dikatakan berjaya meneka pasukan Jepun akan menang menentang pasukan Jerman pada satu perlawanan peringkat kumpulan baru-baru ini.
Kemenangan 2-1 pasukan Jepun ke atas Jerman telah menyebabkan memerang yang dikenali sebagai Taiyo menjadi perhatian ramai khasnya peminat bola sepak.
Taiyo adalah seekor memerang jantan yang tinggal di Maxell Aqua Park Shinagawa di Tokyo, telah diberikan tiga bekas berbeza, satu dengan bendera Jepun, satu dengan bendera Jerman dan satu lagi bekas mewakili seri.
Haiwan itu kemudiannya diberikan satu bola kecil untuk ia memilih salah satu bekas sebagai jangkaan kepada perlawanan melibatkan dua pasukan berkenaan.
Mungkin ia adalah satu suratan mahupun kebetulan, Taiyo memilih bekas yang mempunyai bendera Jepun sebagai tanda pasukan itu akan menang menentang Jerman.
Mengagumkan, pasukan Jepun telahpun mencatatkan kemenangan 2 gol berbalas 1 keatas pasukan Jerman pada perlawanan peringkat kumpulan 23 November lalu.
Kini tumpuan diberikan kepada memerang ini untuk memilih pasukan lain pada perlawanan seterusnya.
Sumber: Mothership