Matahari Terbit Sebelah Utara Di Indonesia

Baru-baru ini, penduduk di Kabupaten Jeneponto, Sulawesi Selatan, Indonesia dikejutkan dengan satu video tular yang memperlihatkan matahari terbit dari utara di kawasan tersebut.

matahari terbit sebelah utara di indonesia

Memetik laporan media tempatan, video tersebut dirakamkan di Sekolah Islam Negeri Binamu yang mana seorang lelaki dalam video itu menjelaskan mengenai matahari pagi yang terbit dari utara bukan dari timur yang disaksikannya.

“Melapor dari lokasi MAN Binamu. Sesuatu yang sangat aneh telah berlaku. Di mana matahari berada di kedudukan utara pagi ini pada hari Khamis, 17 Jun. Tepat sebelum pukul 8, matahari sudah berada di kedudukan utara,” kata lelaki tersebut.

Lelaki tersebut dipercayai bekerja sebagai guru di sekolah tersebut menyaksikan kejadian matahari terbit dari utara bersama dengan sejumlah guru lain yang mana dalam video itu, mereka kelihatan kagum dan terkejut dengan kejadian tersebut.

“Kami dan rakan kami di Jeneponto menyaksikan sesuatu yang aneh dengan mata kami. Saya belum pernah melihat sebelumnya, di mana matahari pagi biasanya terbit di timur. Ternyata matahari sudah berada di kedudukan utara, biasanya tidak seperti itu,” tambahnya.

Menurut peramal Jabatan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofizik Wilayah IV Makassar, Agusmin H, beliau menjelaskan bahawa fenomena itu dikenali sebagai gerakan pseudo matahari yang berlaku kerana kedudukan bumi condong sekitar 23 darjah.

“Putaran bumi di sekitar matahari yang tidak tegak lurus menjadikan hemisfera utara menerima banyak cahaya matahari. Sebaliknya berlaku di bumi selatan,” terangnya.

Menurutnya lagi, keadaan itu adalah normal selain kejadian fenomena itu turut menandakan perubahan musim.

"Itulah yang menyebabkan perubahan cuaca, yakni adanya musim panas dan sejuk," katanya.

 

Sumber: [1] [2]