Main Video Game Mampu Membuatkan Seseorang Teliti Dalam Membedah

Kajian membuktikan, ternyata bermain permainan video juga mampu membantu seseorang pakar bedah dalam mendalami profesion mereka dengan lebih baik.

main video game mampu membuatkan seseorang teliti dalam membedah

Kenyataan tersebut disahkan sendiri oleh seorang pakar pembedahan am, Dr. James Rosser yang berkongsi bahawa permainan video bahkan, merupakan alat pengajaran praktikal yang mampu membantu melatih pakar bedah.

Katanya, permainan video dapat membuatkan seseorang pakar bedah itu menguasai kemahiran penting, tentang bagaimana mereka boleh beroperasi dengan menggunakan teknik yang tepat.

Bahkan, menerusi satu kajian yang pernah dijalankan juga, permainan video berupaya meningkatkan kemahiran motor halus, koordinasi mata dan tangan, perhatian visual dan persepsi mendalam serta kecekapan komputer.

Teknik ini terutamanya berguna dalam pembedahan laparoskopi.

Sekadar perkongsian, pembedahan laparoskopi atau lebih dikenali sebagai pembedahan invasi minimal merupakan satu kaedah pembedahan baru.

Berbeza dengan pembedahan konvensional, pembedahan laparoskopi melibatkan insisi kecil yang dilakukan pada bahagian abdomen.

Pembedahan laparoskopi melibatkan manipulasi instrumen melalui sayatan kecil atau bukaan badan di mana pergerakan pakar bedah dipandu dengan menonton skrin televisyen.

Pembedahan cara ini memerlukan kepakaran yang mendalam kerana ia merupakan pembedahan teknikal rumit yang sangat memerlukan seseorang pembedah itu mempunyai koordinasi mata dan tangan yang baik bagi menavigasi struktur dalaman yang dibedah.

Menerusi kajian yang diterbitkan dalam edisi Februari Archives of Surgery, terdapat hubungan yang kuat antara kemahiran bermain permainan video dan kemampuan pakar bedah dalam melakukan pembedahan laparoskopi.

Kemahiran permainan video yang dimiliki seseorang pakar bedah itu mampu membantunya mendapat skor yang lebih tinggi menerusi ujian kemahiran pembedahan yang berlangsung selama setengah hari itu.

Hasilnya, mereka yang pernah bermain permainan video mendapat skor yang lebih tinggi berbanding dengan mereka yang pernah menjalani latihan terperinci buat suatu tempoh yang lama atau yang punya pengalaman sebelumnya dalam pembedahan laparoskopi.

Daripada 33 pakar bedah yang mengambil bahagian dalam kajian tersebut, sembilan doktor yang pernah bermain permainan video sekurang-kurangnya tiga jam seminggu dilaporkan membuat kesalahan sebanyak 37% jauh lebih sedikit, 27% lebih cepat dan mencatat 42% lebih baik dalam ujian kemahiran pembedahan berbanding dengan 15 pakar bedah yang belum pernah bermain permainan video.

Walaupun begitu, biarpun golongan pakar bedah mungkin mendapat manfaat dengan bermain permainan video, namun kajian tersebut tidak menggalakkan ibu bapa untuk membiarkan anak-anak mereka bermainan permainan video selama berjam-jam.

Hal ini kerana, sekiranya anak-anak menghabiskan kebanyakan masa mereka bermain permainan video, ia akan menggangu fokus mereka terhadap pelajaran sekali gus merendahkan lagi peluang buat mereka memasuki sekolah perubatan.

 

Sumber: Reuters