Macam Tak Percaya, Panjang Lebuh Raya Malaysia Lagi Melangkaui Lilitan Bumi!

Buat negara yang dianggarkan punya populasi sebanyak 32.7 juta orang pada 2020, Malaysia sememangnya terkenal dengan pelbagai perkara yang adakalanya sukar dipercayai namun tidak kurang menarik!

macam tak percaya, panjang lebuh raya malaysia lagi melangkaui lilitan bumi!

Terdahulu Syok pernah berkongsi bahawa Malaysia punya bulatan terbesar di Putrajaya yang mempunyai ukuran diameter sepanjang 2.2 batu bersamaan 3.5 kilometer.

Kali ini lain pula yang kami ingin kongsikan dan kali ini ia berkaitan dengan lebuh raya Malaysia yang dikenali sebagai yang terbaik Asia selepas Jepun dan China.

Selain bulatan terbesar di dunia, tahukah anda bahawa Malaysia juga diketahui mempunyai lebuh raya yang begitu panjang hingga melangkaui panjang lilitan bumi sendiri!

Panjang keseluruhan lebuh raya di negara ini dianggarkan sekitar 65.877 kilometer.

Jauh beza dengan lilitan bumi yang dianggarkan baru 40.075 kilometer!

Dalam pada itu, lebuh raya pertama yang dibina di negara ini ialah Lebuhraya Persekutuan yang lebih dikenali sebagai Federal Highway.

Projek lebuh raya yang dimulakan pembinaan pada 1974 itu merupakan antara lebuh raya yang paling sibuk di kawasan Lembah Klang pada waktu puncak.

Pada waktu puncak juga, Lebuhraya Persekutuan mampu mencatatkan rekod lebih daripada 30, 000 buah kenderaan pengguna.

Kewujudan lebuh raya yang meliputi jarak sejauh 45 kilometer itu bermula selepas pemisahan yang berlaku antara Malaysia dan Singapura yang menyebabkan kerajaan menjadikan Pelabuhan Klang (dahulu dikenali sebagai Port Swettenham) sebagai pelabuhan utama negara untuk menggantikan Pelabuhan Singapura.

 

Sumber: Malaysia Wikia