Seekor lipas dilihat melekat pada luar tingkap sebuah kapal terbang pada ketinggian 2,000 kilometer, nyata mencuri perhatian ramai pengguna Internet.
Insiden dirakam seorang penumpang kapal terbang berkenaan ketika dalam perjalanan dari Shibaoshan ke Ningbo, wilayah Zheijiang.
Ketika itu, penumpang wanita berkenaan melihat seekor lipas yang dipercayai masih hidup melekat kemas pada luar tingkap tepi tempat duduknya.
Penumpang berkenaan segera merakam kejadian itu dan mencetuskan perbincangan hangat warganet di media sosial.
Kebanyakkan warganet seakan tidak percaya lipas berkenaan masih boleh hidup pada ketinggian tersebut, manakala selebihnya kagum dengan keazaman lipas itu untuk ‘melancong’ ke destinasi lain.
"Penumpang tidak bertiket telah sampai ke destinasinya dengan selamat. Ia makhluk paling berkuasa di dunia," kata seorang pengguna media sosial.
Terdapat juga komen menyatakan perasaan simpati terhadap nasib lipas itu dan ada pula mengakui takut jika mereka menjadi penumpang dan lipas berada di sebelah tempat duduk mereka.
"Tiada siapa akan mempercayainya. Saya akan menangis. Saya takut dengan semua jenis serangga," kata seorang lagi pengguna media sosial.
Sumber: Sinar Harian