Tahukah anda, jeruk yang biasa diletakkan pada hidangan burger mempunyai nilai seninya tersendiri, hingga mampu mencecah ribuan ringgit?
Dikenali sebagai ‘Pickle’, satu kerja seni milik artis dari Australia, Matthew Griffin telah mencetuskan kontroversi kerana ia hanya adalah jeruk yang diletakkan pada satu dinding siling berwarna putih.
Kerja seni yang dipamerkan di Michael Lett Gallery di Auckland ini bukan sahaja membuatkan ramai tertanya-tanya motif dan tujuan ia dipamerkan, malah ia mempunyai nilai cukup tinggi iaitu 10,000 dolar New Zealand atau lebih kurang RM28,000.
Jika anda memikirkan ia adalah lukisan jeruk, sebenarnya anda silap kerana ia memang jeruk yang sebenar diambil daripada sebiji burger keju dan dilekatkan pada dinding siling. Tidak dapat dipastikan berapa lama jeruk itu boleh bertahan, namun harganya sangat tidak masuk akal.
Kerja seni itu turut menerima pujian daripada orang ramai yang menganggap ia sebagai satu seni yang genius.
Sumber: Oddity Central