Seorang lelaki Shanghai baru-baru ini menjadi viral di negara asalnya selepas meminta bekas teman wanitanya untuk membayar pampasan bagi semua perbelanjaan yang ditanggung olehnya semasa mereka bercinta.
Terdahulu, media China pernah melaporkan berkenaan seorang lelaki Shanghai yang tidak dinamakan yang didakwa menyusun senarai perbelanjaan yang sangat terperinci yang ditanggungnya semasa bercinta dengan seorang wanita yang telah putus dengannya.
Senarai tersebut menampilkan ratusan item yang lengkap dengan tarikh dan masa serta butiran mengenainya.
Lelaki itu didakwa menghantar senarai itu kepada bekas teman wanitanya sebagai bukti wang yang dibelanjakan untuknya semasa hubungan mereka, sekaligus menuntut wanita itu untuk membayar semula kesemua wang tersebut.
Senarai tersebut telah tersebar di media sosial China sehingga mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan wargamaya yang rata-ratanya tidak hanya terkejut dengan gelagat lelaki itu, bahkan juga keupayaannya untuk mengingati semua perbelanjaan yang pernah dikeluarkannya sepanjang bercinta.
Antara belanja yang disenaraikannya termasuk minuman air botol serta perbelanjaan yang lebih besar seperti menjaga ibu bekas teman wanita yang sakit ketika dia dimasukkan ke hospital hingga ke kos pengebumiannya.
Secara keseluruhan, lelaki itu mendakwa bahawa dia telah membelanjakan lebih 72,000 yuan (RM47,332) sepanjang mereka bercinta.
Bagaimanapun, dia menuntut bekas teman wanitanya itu untuk membayar semula pampasan bernilai RM39,379 kepadanya.
Namun, tidak jelas sekiranya bekas teman wanita lelaki itu bersetuju untuk membayar semula wang tersebut kepadanya.
Ada wargamaya yang menggelar lelaki itu sebagai pendendam dan licik, manakala ada juga yang yakin bahawa dia telah pun mencatatkan senarai itu sejak dari mereka mula bercinta lagi.
Sumber: [1]