Proses persalinan pastinya akan terasa mendebarkan, khususnya bagi pasangan yang baru hendak melalui fasa awal bergelar ibu bapa.
Kebanyakan isteri pastinya menginginkan kehadiran suami untuk menemani mereka di ruang bersalin selama proses tersebut berlangsung.
Namun, lain pula dengan seorang wanita ini.
Memetik laporan Mirror, daripada ditemani suaminya di ruang bersalin, wanita ini ‘mengusir’ suaminya dari ruang bersalin.
Kongsinya, kehadiran suaminya di ruang tersebut membuat situasi menjadi semakin menegangkan.
Wanita yang tidak didedahkan identitinya itu kemudian berkongsi cerita di laman Reddit, yang mana menurutnya, suaminya itu mudah mengalami tekanan, sehingga membuatkan keadaan yang asalnya santai menjadi semakin menyulitkan untuknya.
Tambahnya lagi, suaminya itu mencengkam tangannya dengan kuat sepanjang kontraksi hingga membuatkan tangannya sendiri berasa kejang,
Selain itu, raut wajah suaminya itu turut kelihatan tegang sehingga membuatkan dirinya turut sama menjadi panik.
“Biarpun saya berada dalam kesakitan yang amat, saya melihat wajahnya, ia sangat merah dan seperti kelihatan pembuluh darah di dahinya yang akan meledak. Itu sangat tidak membantu sama sekali, bahkan membuat tekanan dan mempengaruhi emosi saya menjadi negatif,” jelasnya.
Tidak hanya itu, wanita tersebut juga mengatakan suaminya itu mula menangis dengan teruk sekali.
Hal tersebut membuatkan wanita itu berasa semakin panik sehingga terpaksa menyuruh suaminya pergi meninggalkan ruang bersalin.
“Saya berteriak menyuruhnya berhenti beberapa kali dan hasilnya dia boleh berteriak balik ke telinga saya. Perawat pula mula terlibat, saya menyuruhnya (perawat) untuk mengeluarkannya (suami) dari sana. Dia cuba berdebat dengan saya tetapi tidak diberi kesempatan dan diminta untuk meninggalkan ruangan tersebut,” jelasnya.
Berasa terusir, suaminya itu pun kemudian tersinggung kerana tidak dapat melalui momen istimewa kelahiran cahaya mata mereka.
Oleh sebab itu, kongsi wanita itu lagi, suaminya menjadi sangat marah dan mengelak untuk melawat kedua-dua isteri dan anaknya di rumah sakit.
Lanjutnya lagi, saat mereka pulang ke rumah, suami itu terus-terusan menyalahkannya kerana merampas peluang untuk melihat puteri kecil mereka dilahirkan.
Suaminya itu malahan menuduh wanita tersebut hanya mereka-reka alasan untuk mengusirnya dari ruang persalinan.
Apa-apa pun, di sini nak selitkan sedikit nasihat. Sebaik-baiknya, sebagai pasangan yang dah berkahwin, lagi-lagi mereka yang bakal bergelar ibu bapa baru, cuba-cubalah untuk memahami situasi sang isteri yang telah penat lelah sarat mengandung sehingga melahirkan cahaya mata.
Sumber: [1]