Seorang lelaki di China yang mendapat pujian majikannya dengan bekerja selama 12 jam, tujuh hari seminggu, baru-baru ini mencetuskan kontroversi di negara tersebut.
18 Februari lalu, gambar papan iklan berbingkai yang menggambarkan “pekerja model” sebuah syarikat di Zhengzhou, Henan menjadi tular di media sosial China sekaligus mencetuskan perdebatan hangat.
Papan iklan kehormat tersebut memuji lelaki bernama Xue Lin Tao itu, kerana bekerja 12 jam sehari, pada asasnya 30 hari sebulan, mempengaruhi kedua-dua pekerja baru dan lama melalui tindakannya, meningkatkan pengeluaran harian syarikat, menjimatkan wang majikannya dalam kos buruh dan meningkatkan penggunaan peralatan.
Namun, kebanyakan netizen tidak melihat sebagai Xue sebagai contoh tetapi sebaliknya sebagai ‘pengkhianat buruh’ kerana menormalisasikan amalan bekerja lebih masa.
Sehari selepas gambarnya menjadi tular dalam talian, Xue menggunakan media sosial untuk menjelaskan perkara tersebut.
Katanya, tiada sesiapa yang memaksanya untuk bekerja 12 jam sehari.
Dia berbuat demikian secara sukarela kerana gajinya dikira berdasarkan jumlah jam bekerja.
Justeru, jika dia ingin membuat lebih banyak wang, dia perlu bekerja lebih masa.
Dia turut berkata, kerana lumrah pekerjaannya, dia tidak perlu hadir di tempat kerja pada setiap masa dan tugas tertentunya juga tidak begitu rumit.
Xue menambah bahawa majikannya membenarkan dia mengambil cuti jika dia mahu, dan dia mempunyai cuti bergaji selama seminggu setiap suku tahun serta menolak dakwaan bahawa majikannya mengeksploitasinya.
Bagaimanapun, di sebalik kontroversi tersebut, terdapat juga seorang profesor universiti sosiologi mendakwa Xue adalah contoh dedikasi dan kerja keras yang harus dikagumi.
Menurutnya, sesuatu syarikat itu harus dikritik jika mereka memaksa pekerja bekerja lebih masa, tetapi jika itu keputusan pekerja, ia harus dipuji.
Menariknya, Xue juga dinobatkan sebagai pekerja terbaik syarikat itu pada 2021.
Sumber: [1]