Lelaki Derita Tampung Buah Pinggang Seberat 40kg

Seorang lelaki yang berasal dari Windsor, selatan England menanggung derita menampung buah pinggang seberat 40kg disebabkan penyakit buah pinggang polikistik (PKD).

lelaki derita tampung buah pinggang seberat 40kg

Warren Higgs mendedahkan kepada CNN bahawa dia telah banyak kali mengalami strok dan aneurisma berikutan keadaannya itu.

Menerusi laman GoFundMe, Warren berkongsi strok paling teruk yang pernah dialaminya adalah pada 15 tahun lalu kerana PKD. Kejadian tersebut disusuli dengan enam kejadian strok lagi.

“Ia mengerikan, ini adalah penyakit yang tidak menyenangkan dan teruk,” katanya, sambil menambah bahawa buah pinggangnya sekarang sangat besar sehingga dia tidak dapat bernafas dengan betul dan paru-parunya terjejas.

Pesakit berusia 54 tahun itu mengatakan bahawa penyakit terbabit menyebabkan tumbuhnya benjolan pada buah pinggangnya. Dalam beberapa kes, penyakit itu juga dapat mengurangkan fungsi buah pinggang.

Bagaimanapun, fungsi buah pinggang Higgs terjaga, namun saiz organ tersebut kelihatannya berkembang dengan ketara.

Dalam pada itu, doktornya menganggarkan berat buah pinggang Higgs antara 30kg hingga 40kg.

Higgs malahan memberitahu CNN bahawa seorang pakar bedah mengatakan buah pinggangnya lebih besar daripada pemegang rekod semasa untuk buah pinggang terbesar di dunia.

Pada 2017, seroang lelaki dari Dubai memecah rekod Guinness World Records apabila dia dikatakan mempunyai buah pinggang seberat 4.25kg.

Dua tahun kemudian, CNN melaporkan bahawa pakar bedah berjaya mengelurkan buah pinggang seberat 7.4kg daripada seorang pesakit di India.

“Ia perlahan-lahan merampas hidup anda,” kata Higgs mengenai PKD.

Tambah Higgs, kebiasaannya dia akan berbasikal dan mengambil bahagian dalam triathlon namun sekarang dia tidak dapat melakukan perkara-perkara sebegitu akibat keadaan yang dialaminya.

Selain itu, dia akan menjalani pembedahan besar pada 12 Julai untuk membuang kedua-dua buah pinggang.

“Ini operasi besar,” katanya kepada CNN, sambil menambah, “Ia benar-benar berisiko.”

Menurutnya lagi, dia harus memulakan dialisis selepas operasi tersebut dan kemungkinan memerlukan tiga atau empat pembedahan lagi selepas itu.

Dia juga berharap untuk menyumbangkan satu buah pinggang bagi tujuan kajian dan menyimpan yang satu lagi sebagai kenang-kenangan dalam sebuah balang kaca.

“Saya ingin kembali menjalani kehidupan biasa,” katanya.

 

Sumber: [1]