Klon dalam istilah biologi ialah satu proses menghasilkan anak yang mempunyai kandungan genetik sama dengan induknya.
Banyak sudah percubaan para pengkaji dan saintis dalam menghasilkan klon pelbagai hidupan seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan malah manusia. Namun hanya beberapa sahaja yang berjaya dan sempurna.
Terbaharu, sebuah firma gen yang berpangkalan di Beijing, China mengumumkan kejayaan mereka dalam menghasilkan klon serigala artik liar pertama di dunia.
Klon serigala itu dilahirkan pada 10 Jun lalu bertujuan menyelamatkan spesis haiwan yang terancam melalui teknologi pengklonan.
"Untuk menyelamatkan haiwan terancam, kami memulakan kerjasama penyelidikan dengan Harbin Polarland mengenai pengklonan serigala artik pada tahun 2020.
"Selepas dua tahun melakukan usaha gigih, serigala artik berjaya diklonkan. Ia adalah kes pertama seumpamanya di dunia," kata pengurus besar syarikat Sinogene Biotechnology Co., Mi Jidong.
Klon serigala itu diberikan nama Maya, dihasilkan daripada sampel kulit serigala artik betina liar yang diperkenalkan dari Kanada.
Sumber: Sinar Harian