Khusus Untuk Geng Pendaki, Kedai Runcit Ini Dibuka Di Tebing Gunung!

Sukar untuk percaya namun ternyata kedai serbaneka di China ini terletak di tepi tebing gunung pada ketinggian 120 meter atau 393 kaki!

khusus untuk geng pendaki, kedai runcit ini dibuka di tebing gunung!

Digelar sebagai kedai serbaneka ‘paling menyusahkan di dunia, kedai yang diperbuat daripada kotak kayu kecil itu tergantung di tepi gunung Taman Geologi Negara Shiniuzhai di wilayah Hunan.

Ia menjual minuman kepada pendaki yang memerlukan rehat ketika pendakian mereka.

Foto kedai itu menjadi viral di China baru-baru ini selepas beberapa saluran berita melaporkan mengenainya membuatkan ramai wargamaya menjadi tertanya-tanya tentang pekerja yang mengendalikannya.

Menurut media China, CCTV, kedai itu menyimpan minuman dan beberapa makanan ringan termasuk kerepek kentang.

Walaupun lokasinya terletak di tempat yang menyukarkan, harga barangnya bagaimanapun kekal sama dengan harga di kedai-kedai serbaneka biasa dengan harga air botol yang dijualnya dihadkan pada 2 yuan (RM1.32).

“Kedai itu tidak menghasilkan banyak wang, tetapi pelancong sangat berterima kasih untuk itu, jadi kami semua merasakan pekerjaan kami sangat bermakna,” kata salah seorang pekerja kedai itu.

Hanya seorang pekerja ditempatkan di dalam ruang berkotak itu pada satu masa dan sebahagian daripada tugas termasuk mengisi semula bekalan kedai setiap pagi sebelum subuh.

“Setiap pekerja baru agak takut untuk melakukannya pada mulanya, tetapi anda akan terbiasa dengannya dengan cepat,” kata pekerja kedai itu.

“Satu-satunya isu bekerja di situ adalah apabila perlu menggunakan tandas. Ia meletihkan untuk memanjat ke bawah dan ke atas sekali lagi untuk menggunakan tandas, jadi kami cuba untuk tidak minum terlalu banyak air.”

Taman Geologi Negara Shiniuzhai ialah tempat pelancongan yang terkenal dengan pemandangan indah di China.

Menurut CCTV, kedai serbaneka itu dibuka pada 2018 tetapi kini ditutup kerana wabak COVID-19 yang melanda negara itu.

 

Sumber: [1]