Kesal Dengan Sikap Curang Suami, Wanita Sanggup Robohkan Rumah Mewah Yang Pernah Didiami Bersama

Kerana kecewa dengan sikap bekas pasangan yang curang terhadapnya ketika dia merantau bekerja, seorang wanita di Indonesia tekad untuk merobohkan rumah yang pernah didiami mereka bersama.

kesal dengan sikap curang suami, wanita sanggup robohkan rumah mewah yang pernah didiami bersama

“Saya ikhlas. Tiada kenangan,” kata wanita bernama Sudarmi itu ketika ditanya anggota polis yang berkawal di sekeliling rumahnya ketika operasi perobohan dilakukan.

Rumah mewah yang terletak di Desa Kedungbanteng, Jawa Tengah itu merupakan hasil usaha Sudarmi yang ligat membina perniagaan telur masin di Jakarta.

Namun, hasil kerja keras tersebut akhirnya hancur, akibat hubungan sulit yang melibatkan bekas suaminya bersama wanita lain.

Lebih mengecewakan, bekas suaminya itu dikatakan berlaku curang ketika Sudarmi dan anak-anaknya berada di Jakarta, bergelut untuk memasarkan telur masin mereka.

“Rumah ini berdiri di atas tanah milik ibu bapa, sedangkan kami sudah berpisah dan kedua-duanya tiada hak ke atas tanah itu, jadi lebih baik dimusnahkan,” kata Sudarmi.

Bekas pasangan itu akhirnya memilih untuk menamatkan perkahwinan mereka secara rasmi, kerana hubungan sulit itu.

“Saya tidak mahu rumah ini dijual dan wang itu dibahagikan. Saya boleh cari lebih daripada ini,” katanya sambil memerhatikan rumah mewah itu dirobohkan.

Proses perobohan rumah itu memakan masa selama dua hari, namun, tiada sedikit pun kekesalan yang terpancar di wajah Sudarmi apabila melihat bangunan yang pernah menjadi mahligai cintanya bersama bekas suami itu dihancurkan.


Sumber: [1]