Google Maps adalah perkhidmatan pemetaan web yang dibangunkan oleh Google. Ia menawarkan ciri-ciri pengimejan satelit, peta jalan, pemandangan panorama jalan 360°, keadaan lalu lintas dan banyak lagi.
Untuk memetakan sesuatu jalan melalui fungsi Street View, Google akan menggunakan kereta khas mereka yang dilengkapi dengan kamera pada bumbungnya, dan melalui pelbagai laluan di mana-mana kawasan.
Terbaharu, sebuah kereta Google Maps dilapor tersesat di sebah kebun tebu dekat Malang, Jawa Timur, Indonesia selepas dikatakan mengikut arahan pada aplikasi pemetaan tersebut.
Menurut laporan CNN, kereta Google Maps jenis Honda HRV itu telah melalui jalan mati dan gagal berpatah balik akibat permukaan jalan yang licin selepas hujan.
Pemandu kereta Google Maps itu kemudian terpaksa meminta tolong penduduk setempat sebelum mereka menarik kereta itu sejauh 400-meter menggunakan tali.
“Pada awalnya, penduduk tidak mengetahui bahawa kereta Google Maps masuk ke kawasan itu kerana sekiranya kami tahu, pasti kami memaklumkan bahawa ia jalan mati,” kata seorang penduduk, Amin.
Menurut Amin, jalan ke kebun tebu itu memang ada dan muncul pada Google Maps, tapi ia sebenarnya jalan mati. Malah kata Amin, ia bukan kejadian pertama kali kerana sudah banyak kereta yang tersesat melalui jalan itu akibat menurut arahan pada Google Maps sebelum ini.
Insiden itu mencuri perhatian netizen yang rata-ratanya meluahkan rasa lucu kerana pihak Google Maps sendiri yang sesat ketika menggunakan aplikasi berkenaan.
“Itu akibatnya kalau selalu buat orang sesat (Google Maps), sekarang anda sendiri yang sesat.
“Google Maps pun boleh tersesat. Kalau perempuan yang tersesat anda katakan dia tidak pandai membaca peta,” ujar pengguna Internet.
Sumber: CNN