Gara-gara ‘terdesak’ untuk ke tandas, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) mengambil langkah membunyikan siren serta menyalakan lampu kecemasan.
Insiden itu menjadi tular di media sosial selepas sebuah rakaman papan pemuka (dash cam) dimuat naik menerusi satu laman Facebook, yang dikenali sebagai Let Me Know If You Want to Be Famous Return Part 3.
Bagaimanapun, ramai netizen tidak terhibur dengan perbuatan tersebut. Rata-ratanya, ramai yang menyatakan perasaan tidak puas mereka di ruangan komen.
“Kereta ini membunyikan siren dan menyalakan lampu untuk memotong semua kenderaan lain. Ia bertindak demikian dari wilayah Pathum Thani ke Nakhon Nayok.
“Tiada sebarang kecemasan atau kemalangan jalan raya berlaku pada 14 Ogos lalu, pukul 2 petang (waktu tempatan). Ia dikesan di sebatang jalan berhampiran Pejabat Pengangkutan Darat Wilayah Nakhon Nayok,” tulis pada hantaran video terbabit.
Dalam video itu, kelihatan sebuah SUV dipandu laju sambil memotong semua kenderaan di jalan raya dengan keadaan lampu kecemasannya yang dinyalakan dan siren dibunyikan sepanjang perjalanan tersebut.
Pemandu yang merakam video SUV itu bagaimanapun mengekori kenderaan itu sehingga ia dilihat parkir di luar tandas sebuah stesen minyak.
Kelihatan tiga penumpang keluar dari kenderaan tersebut yang mana mereka kemudian menuju ke tandas dalam keadaan yang tidak tergesa-gesa.
Sumber: Kosmo