Gara-gara membikin video memalsukan kematian sendiri di atas landasan kereta api demi secebis jumlah ‘like’ di media sosial, seorang influencer di India terpaksa berdepan dengan tangkapan dan dakwaan daripada pihak polis.
Irfan Khan, 28, atau lebih dikenali sebagai Iffy Khan, memuat naik sebuah video Instagram yang menunjukkan dia berdiri di tengah-tengah landasan kereta api setelah adegan ‘putus cinta’ bersama kekasihnya, untuk dikongsikan bersama lebih 45, 000 pengikutnya.
Video tersebut kemudian memperlihatkan gambar Khan yang kononnya terbaring tidak bernyawa pada landasan tersebut.
Bagaimanapun, ternyata pihak polis tidak terhibur dengan video yang tular itu hingga menyebabkan mereka ‘menjemput’ Irfan di hadapan pintu rumahnya di Mumbai untuk dibawa ke lokap pada 25 Julai lalu.
Susulan itu, dia dituduh dengan beberapa tuduhan termasuk melakukan tindakan yang membahayakan nyawanya sendiri, menyebarkan mesej untuk menimbulkan gangguan dalam talian, menjadi gangguan orang ramai, dan menceroboh.
“Khan mendakwa bahawa dia membuat video untuk menaikkan jumlah pengikutnya,” ujar inspektor polis, Devidas Aranye kepada The Times of India.
Akui tuan empunya badan kepada Vice, dia sememangnya melakukan video tersebut untuk tujuan hiburan namun tidak pernah mempunyai sebarang niat yang tidak elok terhadap orang ramai.
Bagaimanapun, alasan tersebut tetap tidak dapat diterima orang ramai, lagi-lagi dalam keadaan yang mana, ramai personaliti media sosial baru-baru ini dilaporkan meninggal dunia ketika ralik merakamkan kandungan.
10 Julai lalu, seorang influencer dari Hong Kong, Sophia Cheung, 32, yang terkenal dengan aksi beraninya, meninggal dunia akibat tergelincir jatuh ketika cuba mengambil foto dari puncak air jatuh.
Rentetan daripada kejadian tersebut, seorang influencer dari China pula, iaitu Xiao Qiumei, 23, dilaporkan meninggalkan dunia akibat terjatuh dari ketinggian 160 kaki sewaktu mengadakan video siaran langsung dari kren.
Sumber: [1]