Seorang gadis berusia 17 tahun dari Kalimantan Selatan dekat Indonesia dikenali sebagai “Sleeping Beauty" sebenar.
Mana tidaknya, gadis yang dikenali dengan nama Echa, pernah menjadi perhatian pada tahun 2017, ketika berita tempatan melaporkan bahawa gadis ini akan tidur selama 13 hari lamanya.
Kisah Echa bermula apabila beliau tidak sedar pun telah tidur selama kira-kira satu setengah hari, namun ia bertambah buruk apabila dia mulai tidur nyenyak selama kira-kira tujuh hari tidak lama kemudian.
Ibu bapanya membawanya ke hospital Ansari Saleh di Banjarmasin, tetapi doktor mengesahkan gadis itu sihat sahaja.
Tidak dapat dipastikan punca yang membuatkan gadis ini tidur dalam tempoh yang lama, tetapi gejala menunjukkan bahawa beliau menderita hipersomnia. Ia adalah keadaan neurologi yang sangat jarang berlaku yang menyebabkan penderita merasa mengantuk berlebihan pada waktu siang, dan tertidur untuk jangka masa yang panjang. Hipersomnia terdapat dalam pelbagai bentuk dan boleh terjadi disebabkan oleh kerosakan neurologi, faktor genetik dan trauma fizikal atau emosi.
Ayah Echa, Mulyadi, memberitahu laman Tribunews bahawa dia telah beberapa kali cuba membangunkan anak gadisnya itu tetapi tidak berhasil.
Lebih pelik, gadis itu dilaporkan boleh mengunyah dan menelan makanan ketika tidur, dan akan menjadi gelisah ketika dia perlu ke tandas. Mulyadi berkata, anak gadisnya akan dibawa ke tandas dalam keadaan tidur bagi membuang air kecil dan juga untuk mandi.
Buat masa ini, penyakit Echa masih tidak punya penawar tetapi ibu bapanya sangat berharap agar masalah anak gadis mereka itu dapat dirawat agar dia boleh menjalani kehidupan normal seperti orang lain.
Dalam kes berbeza, Sharik Tovar, seorang gadis remaja dari Colombia dilaporkan boleh tidur sehingga dua bulan dalam satu masa.
Sumber: Detik Health