Asalnya ingin menjamu selera hidangan makan malam yang berupa pecel ayam dan sambal pedas. Namun, ia tidak semena-mena bertukar menjadi mimpi ngeri buat seorang gadis di Indonesia ini.
Manakan tidak, ketika gadis terbabit sedang ingin menikmati makanan yang dibelinya itu, dia ‘dikejutkan’ dengan satu penemuan yang memualkan dalam hidangan tersebut, iaitu bangkai cicak...
Menerusi video Tik Tok yang telah dilihat lebih 4 juta orang itu, jelas kelihatan dua gadis (pemilik akaun dan rakannya) yang berasa geli terhadap bangkai cicak tersebut yang ditemui pada sambal yang telah digaulkan bersama nasi dan lauk ayam goreng di dalam bungkusan makanan mereka.
“Trauma makan pecel,” tulisnya pada ruangan kapsyen.
Kejadian malang itu turut sama membuatkan warganet berasa jijik melihatnya, lagi-lagi bangkai cicak tersebut yang tidak semena-mena digaulkan bersama sambal makanan itu.
Bagaimanapun, tidak diketahui pula bagaimana bangkai terbabit boleh berada di dalam sos pecel ayam itu.
Namun yang pasti, penemuannya itu sememangnya mengejutkan pemilik akaun dan rakannya yang sedang ralik menjamu selera.
Difahamkan mereka hanya sedar terhadap bangkai cicak itu setelah memakan separuh daripada hidang tersebut.
Sumber: [1]