Dua ‘mayat’ makhluk bukan manusia telah dipamerkan buat pertama kali kepada umum, baru-baru ini.
Ia ditampilkan pada sesi pendengaran luar biasa Kongres MEXICO yang julung kali menyentuh isu hidupan asing luar angkasa lepas.
Pada sesi pendengaran mengenai Fenomena Anomati Tidak Dikenali (UAP), ahli parlimen negara itu dimaklumkan bahawa ‘penghuni Bumi tidak bersendirian’ di alam semesta ini.
Dua ‘mayat’ itu ditampilkan kepada umum dalam kotak. Keduanya mempunyai tiga jari pada setiap tangan, dengan kepalanya yang lonjong.
Wartawan Mexico, personaliti televisyen dan juga ufologis, José Jaime Maussan Flota berkata dua ‘mayat’ alien berusia 1,000 tahun itu ditemui berhampiran kawasan purba Nazca Lines di Peru pada tahun 2017.
"Spesimen berkenaan tiada kaitan dengan sebarang hidupan di bumi.
"Saya berpandangan bahawa ia jelas adalah spesimen bukan manusia dan tidak berkait dengan sebarang spesies lain di dunia kita. Semua kemungkinan adalah terbuka untuk siasatan oleh mana-mana institusi saintifik. Kita tidak bersendirian," katanya.
Malah hasil pemeriksaan sinar-X, konstruksi semula secara 3D dan analisis DNA juga telah dibuat ke atas dua spesimen itu dengan mengesahkan bahawa mayat-mayat ini tiada kaitannya dengan manusia.
"Kami tidak membuat kesimpulan mengenai asal usul sampel berkenaan," demikian menurut Universiti Autonomi Kebangsaan (UNAM) di Mexico.
Sumber: The Independent