Februari lalu, veterinar di Rusia menjadi bingung berikutan terdapat anjing-anjing gelandangan yang berbulu biru serta hijau terang di sekitar dua bandar Rusia, Dzerzhinsk dan Zoozashchita.
Dalam kes pertama, sekumpulan anjing dengan bulu yang berwarna biru terang ditemui di Dzerzhinsk, iaitu kira-kira 230 batu dari ibu kota Rusia, Moscow.
Kesemua anjing terbabit didapati tinggal berdekatan kawasan perindustrian terbengkalai bandar tersebut, merangkumi kilang kaca dan kilang kimia yang menghasilkan asid hidrosianik dan arkilik.
Fenomena anjing biru itu dipercayai terjadi apabila anjing-anjing itu bersentuhan dengan pewarna biru ketika berjalan di sekitar kawasan perindustrian itu.
Dalam pada itu, ada juga yang mengesyaki kesemua itu adalah hasil daripada sulfat tembaga yang disimpan di salah satu gudang terbengkalai tatkala unit perindustrian ditutup.
Rata-rata, kesemua anjing tersebut diuji positif untuk pigmen biru Prusia dan haiwan terbabit kini berada bawah pengawasan klinik veterinar yang terletak di bandar bersebelahan, Nizhny Novgorod.
Menurut seorang veterinar dari tempat perlindungan haiwan, Zoozashchita, dia percaya bahawa kejadian tersebut berpunca daripada sejenis bahan kimia hingga menyebabkan bulu kesemua anjing tersebut diseliputi warna biru.
Sementara itu, kejadian kedua pula berlaku di Podolsk, yang terletak kira-kira 20 batu dari selatan ibu kota Rusia yang mana sekumpulan anjing berwarna hijau-kehijauan dijumpai berkeliaran sekitar kawasan tersebut.
Gara-gara kejadian itu, sebuah pertubuhan kebajikan haiwan di Rusia menyalahkan pihak tidak bertanggungjawab yang membiarkan cat kering tumpah di serata kawasan tersebut.
Namun kesemua anjing di bandar itu bernasib baik kerana ia tidak beracun lantas tidak menyebabkan sebarang kesan negatif.
Kebanyakan kilang yang telah pun beroperasi sejak zaman Soviet telah lama dipersalahkan gara-gara dituduh mencemarkan persekitaran tempatan.
Pada 2016, satu siasatan dilancarkan oleh pihak berkuasa alam sekitar di Rusia setelah sebatang sungai yang mengalir berhampiran Norilsk, sebuah pusat perindustrian di Siberia, bertukar menjadi merah.
Sumber: Independent