Seorang pencipta kandungan YouTube kelahiran Amerika baru-baru ini mendedahkan di Twitter bahawa adiknya dikenakan bayaran sebanyak AS$40 (RM176) kerana menangis ketika berjumpa dengan doktor.
Camille Johnson, 25, menulis, “Adik perempuan saya benar-benar bergelut dengan keadaan kesihatan sejak kebelakangan ini dan akhirnya berjumpa doktor. Mereka mengenakan bayaran AS$40 (RM176) kepadanya kerana menangis.”
Dia turut melampirkan gambar bil itu sambil menjelaskan bahawa adik perempuannya telah melawat doktor sejak Januari lalu selepas dia mendapat tahu dia mempunyai penyakit yang jarang berlaku berikutan dia dilaporkan bergelut untuk mendapatkan penjagaan.
“Satu titisan air mata dan mereka mengenakan bayaran AS$40 (RM176) kepadanya tanpa menjelaskan mengapa dia menangis, cuba membantu, melakukan sebarang penilaian, sebarang preskripsi, tiada apa-apa,” tweet Johnson.
Rata-ratanya, ramai wargamaya yang menyatakan rasa terkejut dan kecewa mereka.
Menerusi temu bualnya dengan The Independent, Johnson menyatakan bahawa doktor menyedari adik perempuannya menangis tapi tidak berusaha untuk membantunya.
“Mereka tidak menilai dia untuk kemurungan atau penyakit mental lain, dan mereka juga tidak membincangkan kesihatan mentalnya dengannya,” kata Johnson.
“Dia tidak pernah bercakap dengan pakar, tidak dirujuk kepada sesiapa, tidak diberi apa-apa, dan mereka tidak melakukan apa-apa untuk membantu kesihatan mentalnya,” tambahnya.
Sumber: [1]