COD Nasi Bungkus Pakai Helikopter

Sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh semalam bagi mengambil pesanan nasi kandar popular di bandar raya Ipoh, yang dikenali sebagai ‘nasi ganja’.

bukan biasa-biasa, 'cod' nasi bungkus pakai helikopter!

Memetik laporan Astro Awani, kongsi pemilik perniagaan nasi kandar itu, dia menerima tempahan 36 bungkus nasi berlauk ayam, daging, telur masin daripada pelanggan di Kuala Lumpur.

Lanjutnya, pada awalnya, dia meragui sekiranya tempahan yang dibuat itu merupakan satu bentuk gurauan kerana dimaklumkan bahawa ia akan diambil dengan menggunakan helikopter.

“Saya agak ragu-ragu juga, kerana tidak pernah ada pelanggan yang mengambil tempahan dengan menaiki helikopter.

“Namun saya terkejut kerana rupa-rupanya tempahan makanan memang benar diambil menggunakan helikopter.

“Ini pertama kali tempahan diambil oleh pelanggan menggunakan helikopter. Ini merupakan tempahan paling mewah pernah saya terima, tetapi harganya tetap sama iaitu RM10 setiap bungkus,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalatrash Wahid menjelaskan bahawa helikopter tersebut hanya mendapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh sahaja setelah membuat semakan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Ipoh.

Susulan itu, pihaknya telah menyalurkan maklumat berkenaan kepada pihak CAAM bagi siasatan lanjut.

 

Sumber: [1]