Sebuah syarikat hartanah gergasi di China baru-baru ini mencetuskan kontroversi selepas menamakan pemungut hutang yang dikuasakan AI sebagai pekerja terbaik bagi tahun 2021.
Sekilas melihat gambar Cui Xiaopan, anda mungkin akan terfikir bahawa ia adalah seorang wanita dalam lingkungan 20-an dengan wajahnya yang kelihatan tegas.
Namun, ia sebenarnya bukan manusia.
Pemungut hutang AI itu dikatakan berjaya mengatasi rakan sekerja manusianya dengan margin yang agak besar, mencatatkan kadar kejayaan 91.44 peratus dalam mengutip bayaran tertunggak.
“Di bawah sokongan algoritma yang sistematik, dia dengan cepat mempelajari kaedah manusia untuk menemui masalah dalam prosedur kerja dan data serta telah memaparkan kemahirannya ratusan ribu kali lebih banyak daripada manusia,” kata Yu Liang selaku pengerusi lembaga pengarah Vanke menerusi catatan media sosial pada Disember tahun lalu.
Cui Xiaopan, pekerja AI yang dibangunkan oleh pasukan dalaman menggunakan kit alat daripada Xiaoice, sistem AI canggih yang dimiliki oleh Microsoft China, hanya mula bekerja di jabatan perakaunan syarikat itu pada Februari tahun lalu.
Namun ia dengan cepat mempelajari selok-beloknya sehingga berjaya menggunakan maklumat untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi pemungut hutang manusia.
Pengumpul hutang yang dikuasakan oleh AI itu nampaknya melakukan kerja yang begitu baik selama 10 bulan bersama Vanke Group sehingga ia dinamakan sebagai pekerja terbaik daripada 140,000 pekerja syarikat terbabit pada 2021.
Pengumuman syarikat itu kemudian mendapat reaksi bercampur dalam talian sehingga mencetuskan kontroversi dan kekaguman dalam kalangan warga maya.
Sumber: [1]