Temuduga adalah proses interaksi antara calon pekerja dan majikan atau pihak pengambilan keputusan dalam organisasi. Biasanya temuduga digunakan sebagai salah satu tahap dalam proses penerimaan pekerja baru di dalam organisasi.
Mungkin ada sebilangan majikan yang akan memilih calon pekerja mereka berdasarkan wajah yang cantik dan kacak, meskipun ramai lagi yang lebih layak berdasarkan pengalaman dan latar belakangnya.
Untuk itu, sebuah syarikat di Chengdu, China iaitu Chengdu Ant Logistics telah meminta calon yang datang untuk memohon kerja di syarikatnya supaya memakai topeng muka bagi mengelakkan mereka dipilih berdasarkan rupa semata-mata.
Bukan sahaja calon pekerja, malah majikan yang menjalankan temuduga turut mengenakan topeng muka bagi tujuan sama. Perkara ini telah menarik perhatian ramai selepas ia menjadi tajuk utama dan tular di media sosial.
Syarikat logistik China itu berkata bahawa kaedah pengambilan pekerja yang pelik itu dilaksanakan untuk mengurangkan tahap tekanan calon pekerja dan juga menekankan fakta bahawa syarikat itu menghargai kebolehan individu lebih daripada penampilan dan rupa paras mereka.
Video tersebut yang kini menjadi tular di media sosial China mendapat maklum balas yang positif daripada jutaan orang, di mana ramai daripada mereka mengatakan bahawa mereka tidak kisah memakai topeng ketika memohon kerja baru.
"Sebagai orang yang mengalami fobia sosial, saya benar-benar akan menikmati temuduga kerja seperti ini," tulis seorang individu di Douyu.
Namun, terdapat juga individu yang meragui tentang kesahihan penjelasan yang diberikan oleh syarikat tersebut. Ada yang berkata, pekerja itu memakai topeng adalah untuk melindungi identiti calon pekerja kerana proses temuduga dijalankan secara langsung. Sesetengah orang mendakwa bahawa setelah video itu menjadi viral, Chengdu Ant Logistics hanya menjadikan temuduga tersebut sebagai satu bentuk publisiti.
Sumber: Oddity Central