“Saya tidak akan membiarkan anak saya berada luar dari pandangan saya lagi,” begitulah kata-kata seorang ibu di India bernama Meena Wadi, yang kehilangan bayinya sebanyak dua kali dalam tempoh sebulan.
Cubaan menculik bayinya itu dilakukan sehari setelah sekembalinya dia dari hospital bersama bayi tersebut.
Kongsi ibu berusia 25 tahun itu, seorang wanita yang mengakui sebagai jururawat dari hospital tempat Meena melahirkan anaknya itu, berkunjung ke rumah dan memberitahu bahawa bayi tersebut perlu diberi vaksin.
Oleh itu, Meena bersama bayi lelakinya itu, menemani wanita tersebut ke hospital.
Bagaimanapun, bayi tersebut kemudian hilang apabila jururawat tersebut mengatakan dia ingin mengambil foto anak kecil itu.
Berjam-jam berlalu, namun wanita tersebut tidak juga kembali bersama bayi milik Meena.
“Mendengar tangisan saya, pengawal keselamatan bertanya kepada saya apa yang telah terjadi. Ketika saya memberitahu mereka, mereka memanggil polis,” katanya.
Pihak polis kemudian menyiasat penculik tersebut dengan menggunakan rakaman CCTV di kawasan sekitar hospital selain menyoal siasat hampir 500 pemandu beca.
Hasil siasatan mendapati bahawa wanita dalam rakaman tersebut menuju ke kampung jiran bersama dengan seorang bayi dalam pelukannya.
Pencarian tersebut membawa mereka ke sebuah ladang terbengkalai yang mana pihak polis menemui pakaian wanita berserta kad pengenalan dan identiti biometrik nasional.
Pihak polis kemudian pergi ke alamat yang tertera pada ID tersebut yang mana mereka berjaya menemui seorang wanita dengan bayi. Bagaimanapun, bayi itu bukanlah milik Meena, dan wanita itu juga bukanlah penculik yang dimaksudkan.
Menurut wanita itu, suaminya telah kahwin lari dengan wanita lain, yang didakwa mencuri barang-barangnya, termasuk kad pengenalan yang ditemui pihak polis. Sementara itu, bayi yang ditemui itu pula dikatakan berasal daripada perkahwinan kedua wanita tersebut.
“Kami mula mencari suaminya dan mendapati pasangan tersebut tinggal bersama seorang anak kecil di alamat yang diberikan oleh wanita pertama,” jelas Encik Zala yang mengendalikan kes tersebut.
Ujian DNA mengesahkan bahawa bayi tersebut adalah milik Meena.
Pasangan tersebut kemudian ditangkap namun dibebaskan dengan ikat jamin.
Menurut wanita yang menyamar itu, dia mengaku menculik bayi Meena dan cuba menipu isteri pertama lelaki itu dengan membuang pakaian dan kad pengenalannya di ladang. Namun, suaminya difahamkan bahawa dia tidak tahu sedikit pun mengenai kejadian tersebut dan mengingat bayi itu adalah miliknya.
Wanita itu juga mengatakan bayi sebenar mereka telah meninggal dunia ketika dia melahirkannya, justeru itu, dia takut sekiranya lelaki itu akan meninggalkannya jika dia pulang tanpa anak mereka.
Pihak polis menyifatkan kisah tersebut sebagai luar biasa.
“Ada keinginan dalam kalangan ibu bapa untuk memiliki anak lelaki dan bukannya anak perempuan,” kata bekas pegawai polis Deepak Vyas.
“Mereka menginginkan anak lelaki walau apa-apa pun. Didorong oleh kegilaan ini, mereka menculik anak-anak kecil daripada keluarga miskin,” lanjutnya.
Dua bulan selepas kehilangan tersebut, bayi tersebut dikembalikan kepada keluarga asalnya.
Namun, kegembiraan tersebut tidak tahan lama kerana ia hilang lagi.
Kehilangan kedua berlaku apabila Meena keluar memungut sampah sementara bayinya sedang tidur di bawah pokok.
Meena dan suami kemudian bergegas ke balai polis yang mana pihak polis terkejut untuk melihat pasangan itu lagi.
Sekali lagi, rakaman pengawasan di sekitar kawasan tersebut membawa kepada penemuan seorang suspek yang dikenal pasti sebagai seorang lelaki yang berbasikal bersama bayi itu ketika hari kehilangannya.
Namun ketika pihak polis mengejarnya, lelaki tersebut memberitahu mereka bahawa dia bukan orang yang menaiki basikal pada hari itu, ia adalah rakannya yang tinggal di negara jiran Rajasthan.
Pasukan polis bertindak menghubungi polis di Rajasthan dan bersama-sama, mereka menyerbu rumah penculik itu.
Lelaki tersebut dan isterinya ditangkap, mereka memberitahu polis yang mereka menculik bayi Meena kerana mereka tidak mempunyai anak sendiri.
“Dia sering bekerja di sebuah tapak pembinaan bersama suami Meena. Ketika dia mendapat tahu tentang bayi itu, dia merancang untuk menculiknya,” kata Encik Zala.
Empat hari kemudian, Meena kembali bersatu dengan anaknya.
Pihak polis kini selalu mengunjungi keluarga Meena secara berkala untuk memeriksa bayi tersebut. Kongsi Meena, mereka ada kalanya membawa hadiah dan bermain dengannya.
“Polis lebih menyayanginya daripada kami,” kata Meena.
Encik Zali tidak menafikannya. Katanya, “Kami tidak boleh membiarkan bayi itu berada dari luar pandangan kami.”
Sumber: [1]